Siakap Keli

Lurus Atau Kerinting Tetap Cantik, Ini 6 Tips Mudah Penjagaan Rambut Bayi Yang Perlu Ibu Bapa Tahu

Menimang cahaya mata terutamanya buat pasangan baru berkahwin adalah momen-momen indah yang tidak mungkin akan dilupakan oleh ibu bapa.

Selalunya anak itu akan ditatang bagai minyak yang penuh. Apa sahaja akan dilakukan demi keselesaan anak. Salah satunya penjagaan tubuh badan bayi supaya berada dalam keadaan terbaik dan menarik.

Seperti yang dikongsikan oleh Ahmad Farid daripada Hello Doktor, penjagaan rambut bayi adalah salah satu perkara yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa.

Ikuti penulisannya di bawah untuk mengetahui 6 tips penjagaan rambut bayi.

Selain penjagaan kesihatan bayi secara umumnya, rambut bayi juga adalah salah satu perkara penting yang ibu bapa perlu ambil perhatian. Tanpa mengira jenis rambut bayi sama ada lurus atau keriting, tebal atau nipis dan sebagainya, ibu bapa tahu bagaimana untuk menjaganya.

Ikuti artikel ini untuk mengetahui tip penjagaan rambut dan kulit kepala bayi.

6 Tip Penjagaan Rambut Bayi

1. Syampu

Sama seperti individu dewasa, bayi juga perlu mencuci rambut dan kulit kepala mereka dengan syampu. Ia tidak perlu dilakukan setiap hari tetapi cukup sekadar sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Paling penting, gunakan syampu khas untuk bayi.

2. Menguruskan kerak kepala bayi

Kerak kepala bayi adalah satu keadaan yang disebabkan oleh terlebih penghasilan sebum iaitu bahan yang dihasilkan untuk memastikan kulit kepala kekal lembap.

Ia akan kelihatan seperti kelemumur dan berwarna kekuningan atau keputihan dan melekat di kulit kepala bayi. Apa yang ibu bapa perlu lakukan adalah kerap mencuci dan menyikat rambut bayi selain memastikan anda tidak menyapukan bedak talkum pada kulit kepala si kecil.

3. Mengurut kulit kepala bayi dengan minyak

Ibu bapa juga boleh mengurut kulit kepala bayi dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti minyak zaitun atau minyak kelapa.

Ia perlu dilakukan untuk melancarkan perjalanan darah pada liang pori rambut bayi. Selain itu, ia juga membantu melembapkan kulit kepala lalu mengurangkan pembentukan kelemumur. Caranya, hanya sapukan minyak tersebut pada kulit kepala bayi dan urut kepala bayi dengan perlahan-lahan.

4. Menyikat rambut bayi dengan berus

Perbuatan menyikat rambut bayi boleh merangsang bukaan liang pori rambut dan membantu penghasilan sebum yang sihat.

Namun begitu, anda perlu tahu bahawa kulit kepala bayi adalah sangat lembut. Oleh itu, sikat rambut bayi menggunakan berus secara perlahan-lahan. Ia juga tidak perlu dilakukan banyak kali sehari, cukup sekadar sekali atau dua kali sehari.

5. Menggunting rambut secara berkala

Salah satu cara paling terbaik untuk memastikan rambut bayi anda kekal sihat adalah menggunting rambut secara berkala. Ini dapat menyelesaikan masalah rambut rosak dan kering. Selain itu, ia juga adalah bertujuan membuat bayi anda tampak kemas.

6. Gunakan produk bayi sahaja

Paling penting, anda tidak boleh menggunakan produk dewasa seperti syampu, minyak rambut dan lain-lain terhadap bayi. Sebaliknya, gunakan produk bayi yang telah direka khas untuk bayi kerana kulit bayi adalah sangat sensitif.

Sebagai ibu bapa, anda lah yang perlu memainkan peranan dalam penjagaan rambut dan kulit kepala bayi. Jika anda memutuskan untuk membiarkan rambut bayi anda panjang, pastikan anda memberi lebih perhatian agar rambut mereka tidak rosak, kering atau bercabang pada hujungnya.

Jika anda memutuskan membotakkan bayi, pastikan anda memastikan rambut bayi kekal lembap agar tidak terbentuk kelemumur.

Konklusinya, pilihan penjagaan rambut dan kulit kepala bayi terletak di tangan ibu bapa. Paling penting, jagalah rambut bayi sama seperti anda menjaga rambut anda sendiri agar si kecil kesayangan anda sentiasa kelihatan kemas, segak dan cantik.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.