Tahun paling mendebarkan, itu lah reaksi yang boleh penulis gambarkan terhadap perebutan takhta Liga Perdana Inggeris dan slot Liga Juara-Juara Eropah untuk musim hadapan.
Ketika ini hanya tinggal dua pasukan yang menjadi tumpuan bagi merebut takhta gelaran liga antara Manchester City dan Liverpool. Kedua-dua pasukan ada kelebihan untuk bergelar juara musim ini apabila masing-masing menunjukkan prestasi luar biasa musim ini.
Lebih elok rasanya penulis bermula dengan peluang Manchester City terlebih dahulu. Di atas kertas, Manchester City mempunyai kelebihan berbanding Liverpool apabila memiliki kurang satu perlawanan dan bakal berhadapan dengan Manchester United awal pagi khamis yang mana United juga sedang bergelut dengan prestasi selepas dibelasah Everton dengan keputusan 4-0.
Skuad bimbingan Pep Guardiola itu sudah boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada perebutan juara liga apabila mereka disingkirkan Tottenham Hotspurs dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah tempoh hari. Manchester City setakat ini mencatatkan 28 kemenangan, 2 seri dan 4 kalah dengan 86 kutipan mata.
Liverpool juga mempunyai peluang mereka tersendiri, Skuad The Reds sedang memimpin liga dan memiliki kelebihan satu perlawanan dengan beza 1 mata sahaja dengan City. Liverpool yang mencatat 7 keputusan seri sebelum ini bakal menjadi punca gagal menamatkan kemarau kejuaraan liga nanti. Setakat ini Liverpool mencatat 27 kemenangan, 7 seri dan 1 kalah dengan mengumpul 88 mata serta memiliki kelebihan satu perlawanan.
Perebutan slot Liga Juara-Juara Eropah (UCL) juga tidak kurang hebatnya apabila 2 slot automatik masih lagi memiliki kekosongan dan jadi rebutan antara Tottenham, Chelsea, Arsenal dan United. Purata jarak mata keempat-empat pasukan ini hanya 1-2 mata sahaja dan sesiapa melakukan kesilapan saat akhir bakal terlepas aksi UCL musim hadapan.
Untuk pasukan Chelsea dan Arsenal, mereka ada talian hayat kedua untuk layak secara automatik kerana mereka masih bersaing dalam saingan Liga Europa dan UEFA telah menetapkan sesiapa menjadi juara Liga Europa akan layak secara automatik ke saingan UCL musim hadapan.
Semua peminat akui musim ini adalah antara yang paling sengit dalam sejarah Liga Perdana Inggeris. Liverpool yang bergelut untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga dan ini adalah pasukan terbaik untuk mereka memenanginya dan Pep Guardiola pula ingin terus mencipta sejarah sebagai pengurus paling bernilai apabila berjaya merangkul kejuaraan liga di UK, Jerman dan Sepanyol.
Dalam jangkaan penulis, peminat akan terpaksa menunggu sehingga perlawanan terakhir liga yang dijadualkan pada 12 Mei 2019 untuk mengetahui siapa yang bakal menjadi juara dan siapa yang akan terus kempunan.