Siakap Keli

Kanak-Kanak Lain Minta Telefon, Dia Pula Minta Seekor Kambing Sebagai Hadiah Graduasi

Hari ini, tidak dapat dinafikan ada ibu bapa yang pening kepala disebabkan tabiat anak mereka yang banyak menghabiskan masa dengan gajet seperti telefon pintar dan media sosial.

Disebabkan itulah, kisah seorang kanak-kanak daripada Filipina ini yang mahukan seekor kambing sebagai hadiah graduasi berbanding hadiah-hadiah lain menjadi tular di negara berkenaan.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh abangnya, Alvin Gaoiran Robiniol di facebook setelah terkejut dengan permintaan luar biasa oleh adiknya, Alwytz Robiniol Gaoiran.

Kata Alvin, dia telah menunaikan permintaan Alwytz dan membelikannya seekor kambing bunting sebagai hadiah.

Menurut laporan media tempatan, Alwytz suka memelihara haiwan ternakan. Bagaimanapun disebabkan faktor kemiskinan, keluarga berkenaan tidak mampu memiliki ladang ternakan.

Malah, ibunya yang berhijrah ke Kuwait untuk bekerja di sana juga tidak mampu menyediakan wang yang cukup untuk memenuhi impian Alwytz.

Sedar dengan keinginan adiknya mahukan kambing berbanding gajet-gajet moden yang menjadi keutamaan kanak-kanak sebayanya, maka Alvin nekad memenuhi hajat tersebut.

Perkara berkenaan menjadi tular dan menerima pujian daripada warga maya di sana.

Sumber: Buzzooks

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.