Siakap Keli

”Jangan Terus Gosok Gigi Selepas Sahur” Kenapa, Doktor Ini Berikan Jawapannya

Ketika bulan Ramadan, ramai di antara kita memilih untuk terus memberus gigi selepas makan sahur atas alasan takut terbatal puasa sekiranya memberus gigi selepas masuk waktu Subuh.

Namun, ketahuilah amalan itu sebenarnya kurang sihat untuk gigi kita. Menurut Dr. Ibrahim Shahruddin menerusi kicauan di Twitter-nya @ib_shah, memberus gigi selepas sahur boleh mendatangkan risiko gigi terhakis.

Ini kerana selepas makan, enzim yang berada di dalam mulut akan bertindak terhadap makanan seterusnya menjadikan gigi berada dalam keadaan sedikit berasidik, tambahan pula sekiranya kita memakan makanan berasid seperti limau dan sebagainya.

Asid yang berada dalam mulut akan ‘menyerang’ gigi dan gigi akan menjalani satu proses yang dinamakan ‘dimineralisasi’. Proses ini akan menjadikan gigi sedikit rapuh dan jika gigi diberus secara terus menerus, ia akan lebih mudah terhakis.

Menurut Dr. Ibrahim, cukuplah sekadar berkumur untuk membersihkan mulut selepas makan. Berkumur dengan menggunakan cecair pembersih mulut juga adalah dibolehkan.

Tambahnya lagi, waktu terbaik untuk memberus gigi adalah selepas 30 minit menikmati makanan. Ini kerana ketika itu, proses dimineralisasi itu sudah pun tamat dan gigi akan mula dineutralisasikan semula.

Bagi anda yang risau mengenai hukum memberus gigi ketika berpuasa, anda tidak perlu bimbang kerana memberus gigi ketika berpuasa tidak akan membatalkan puasa selagi tiada apa yang dimasukkan ke dalam perut dengan sengaja(Mufti Wilayah).

Sumber: Twitter Dr.Ibrahim

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi