Siakap Keli
Gambar: South China Morning Post

Jho Low Dan Bekas Penyanyi Rap Fugees Didakwa Kerana Membiayai Kempen Obama

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) awal pagi tadi telah membuat pendakwaan terhadap bekas penyanyi rap anggota kumpulan Fugees Prakazrel “Pras” Michel serta ahli perniagaan Malaysia yang terbabit dengan skandal 1MDB Low Taek Jho atau pun lebih dikenali sebagai “Jho Low,” berhubung dengan penajaan dana untuk kegunaan kempen pilihan raya Obama dengan menggunakan wang yang dipercayai daripada 1MDB pada tahun 2012.

Menurut dakwaan yang difailkan, di antara bulan Jun 2012 dan November 2012, Jho Low dilaporkan telah memindahkan sejumlah wang yang beranggaran sebanyak RM 90 juta (AS$21.6 juta) ke dalam akaun Michel untuk digunakan dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat tersebut.

Pendakwaan itu walau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti nama calon presiden tersebut.

Namun, Michel, yang juga merupakan warga negara Amerika Syarikat yang dikenali ramai itu adalah penyokong kuat parti Demokratik yang dipimpin oleh Presiden Barack Obama, tambahan lagi dalam rekod pilihan raya persekutuan menunjukkan bahawa dia telah menyumbang wang untuk jawatankuasa politik yang menyokong kempen pemilihan semula Obama pada tahun 2012 dan jawatankuasa Demokrat lain.

Di bawah undang-undang pilihan raya Amerika Syarikat, adalah menjadi satu kesalahan untuk mana-mana sumber asing membuat sumbangan politik dalam pilihan raya persekutuan, negeri, mahupun daerah.

Pihak DOJ mendakwa bahawa Michel dan Jho Low berkomplot untuk mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang dengan mengagihkan wang kepada 20 individu lain.

Dakwaan tersebut menyatakan, dengan berbuat demikian dengan harapan agar mereka boleh mendapatkan pengaruh yang besar serta berkuasa di negara itu.

“Mr. Low tidak bersalah dan dia dianggap tidak bersalah di bawah undang-undang Amerika Syarikat,” dakwa jurucakap Jho Low melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya.

“Mr. Low tidak pernah menyumbang apa-apa terhadap kempen pilihan raya itu secara langsung mahupun tidak langsung dan beliau dengan tegasnya menafikan sebarang penglibatan atau pengetahuan tentang aktiviti yang didakwa itu. ”

Jho Low menghadapi beberapa tuduhan jenayah yang berasingan di Amerika Syarikat berhubung dengan skandal berbilion dolar yang membabitkan syarikat kerajaan Malaysia iaitu 1Malaysia Development Bread (1MDB).

Jho Low juga turut dikenal pasti oleh kerajaan Malaysia serta Amerika Syarikat sebagai suspek utama dalam skandal yang membabitkan kehilangan duit sebanyak AS$4.5 BILION daripada dana 1MDB itu.

 

Sumber: Reuters

Aqmal Ezany

I write what is right