Kucing merupakan haiwan peliharaan yang menjadi kegilaan ramai sehinggakan ada yang sanggup menghabiskan wang ribuan ringgit semata-mata untuk memiliki spesis kucing yang diidamkan.
Ada beberapa mitos yang sering dikaitkan dengan haiwan ini, antaranya ia memang tidak boleh berjumpa dengan anjing, pasti akan bergaduh.
Bagaimanapun, antara mitos yang paling popular berkaitan kucing ialah ia didakwa mempunyai sembilan nyawa.
Tapi betul ke?
Semestinya tidak. Ia hanyalah satu mitos yang popular di negara Barat. Tapi bagaimana mitos itu terhasil?
Haiwan comel ini bukan sahaja boleh mencairkan hati manusia yang melihat mereka, malah mereka juga mempunyai kebolehan untuk menyelamatkan diri yang luar biasa.
Kucing boleh melompat dari tempat yang tinggi, melintas di hadapan kereta yang sedang laju serta memanjat pokok tinggi namun kekal selamat.
https://youtu.be/NmLOy3N2OS8
Ia sebenarnya dibantu oleh keupayaan mereka untuk bertindak balas dengan pantas ketika menghadapi bahaya.
Semasa jatuh daripada tempat tinggi, mereka hampir pasti akan dapat mendarat dengan keempat-empat kaki dan mempunyai kadar refleksi yang amat pantas ketika hampir dilanggar kenderaan.
Namun itu tidak membuatkan mereka kebal daripada mati dilanggar. Akan tetapi, sangat jarang kita dengar seekor kucing terkorban selepas terjatuh daripada tempat tinggi.
Jadi bagaimana boleh wujudnya dakwaan kucing mempunyai sembilan nyawa itu? Mengapa sembilan?
Terdapat beberapa jawapan bagi soalan ini namun yang paling logik ialah ia diambil daripada satu ungkapan lama Inggeris yang berbunyi,
“Kucing mempunyai tiga nyawa ketika bermain, tiga nyawa ketika merayau di jalanan dan tiga lagi ketika mereka kekal di satu-satu tempat.”
Selain itu, sembilan juga dipercayai sebagai angka magikal oleh tamadun-tamadun purba. Kucing juga dianggap sebagai haiwan ajaib oleh beberapa tamadun purba dan disitulah munculnya hubungan di antara kucing dan angka sembilan.

Bagaimanapun, dakwaan kedua ini tidak diterima pakai pada zaman ini memandangkan orang ramai tidak lagi mempercayai bahawa kucing miliki keajaiban.
Kelebihan lain kucing selain “sembilan nyawanya”
Sebenarnya terdapat banyak kelebihan dari segi fizikal dan mental apabila kita memelihara kucing di rumah.
Antaranya, kucing didakwa mampu membantu kita untuk menjadi tenang serta mengurangkan stress. Malah menurut saintis dari Universiti Zurich, kucing sendiri bukanlah haiwan yang mudah tertekan dan ketenangan mereka itu mudah untuk mengalir ke pemiliknya ketika mereka bersama.
Selain itu, menurut satu kajian yang telah dijalankan, kucing dapat membantu mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung kepada pemiliknya sebanyak sekitar 30%.

Tambahan pula, hasil beberapa kajian yang dijalankan di UK, haiwan ini juga dapat membantu pemiliknya untuk mendapatkan tidur yang lebih baik. Maka tidak hairanlah ada di antara kita yang lebih selesa tidur bersama si bulu kesayangan.
Bagi kaum lelaki pula, kucing juga boleh dijadikan “modal” untuk memikat hati wanita. Memetik penyelidikan yang dijalankan oleh Dr Junes Nicolls, 90% wanita mengaku lebih tertarik kepada lelaki yang menyayangi kucing kerana melihat mereka sebagai lelaki yang penyayang.
Maka tidak hairanlah si bulu yang comel ini sering diminati ramai tanpa mengira umur atau jantina untuk dijadikan teman dan kawan di rumah.
Sumber: Mirror UK, Mental Floss, Goodnet