Siakap Keli

“Kenderaan Adalah Keperluan Asasi, Ini Tidak Membantu PTPTN Mendapatkan Kembali Pinjaman” – Naib Presiden Majlis Belia Malaysia

Baru-baru ini Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan mengeluarkan kenyataan berkenaan  cadangan untuk menyenarai hitamkan lesen memandu, cukai jalan atau lesen perniagaan dan urusan ke luar negara bagi peminjam yang ingkar membayar.

Terkesan dengan pernyataan tersebut, Majlis Belia Malaysia (MBM) tampil mengeluarkan kenyataan media berkaitan isu tersebut. Melalui kenyataan tersebut, MBM memberi amaran kepada PTPTN supaya lebih sensitif dalam melakukan sesuatu pelaksanaan berkaitan PTPTN.

Menurut Naib Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi, cadangan untuk menyenarai hitamkan peminjam yang ingkar merupakan cadangan yang ekstrem dan membebankan rakyat terutamanya yang melibatkan larangan keluar negara dan lesen memandu serta cukai jalan. Perkara ini kerana kenderaan merupakan keperluan asasi bagi belia dan cadangan tersebut tidak akan membantu PTPTN mendapatkan kembali pinjaman.

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM BERI AMARAN KEPADA PTPTN JANGAN BANYAK PUSING

Majlis Belia Malaysia (MBM) merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkenaan cadangan menyenarai hitamkan peminjam yang ingkar membayar dari keluar negara.

MBM berpendapat bahawa tindakan menyenarai hitamkan peminjam yang ingkar membayar semula pinjaman PTPTN adalah satu langkah membebankan. Namun di satu sudut ia adalah perlu khusus bagi peminjam yang benar-benar gagal menjalankan tanggungjawab melunaskan hutang sepertimana yang sepatutnya, walaupun hakikatnya berkemampuan untuk membayar.

Tindakan menyenarai hitam peminjam yang gagal hendaklah juga disusuli dengan satu pendekatan yang komprehensif di pihak PTPTN untuk mendefinisikan siapa yang dimaksudkan sebagai peminjam gagal dan ingkar ini. Ini termasuk setelah memastikan pendapatan isi rumah dan perbelanjaan yang perlu dilangsaikan oleh peminjam. Oleh itu, pendefinisian hanya melalui perolehan gaji tidak mencukupi dan perlu ditimbang semula oleh pihak PTPTN.

Berkaitan cadangan untuk menyenarai hitamkan lesen memandu, cukai jalan atau lesen perniagaan adalah satu cadangan yang ekstrem, membebankan serta menyusahkan rakyat. Kenderaan adalah keperluan asasi setiap orang dan menafikan hak ini tidak akan membantu PTPTN dalam mendapatkan kembali pinjaman yang telah diberikan. Lesen perniagaan pula adalah keperluan bagi mereka yang bekerja sendiri untuk menampung keluarga mahupun membayar pinjaman. Sekiranya mereka dinafikan lesen untuk berniaga, itu hanya membantutkan lagi usaha untuk mendapatkan kembali pinjaman, dan juga kerugian buat negara yang akan kehilangan sumber melalui cukai serta wujud kegiatan perniagaan haram.

MBM juga mengambil kesempatan ini untuk terus konsisten menyuarakan bahawa ujrah PTPTN harus dihapuskan untuk meringankan beban peminjam serta sekurang-kurangnya menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan pendidikan percuma termasuk pendidikan tinggi.

MOHD IZZAT AFIFI ABDUL HAMID
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia
merangkap;
Pengerusi Biro Pendidikan MBM

Tarikh : 17 Mei 2019

Sumber: Majlis Belia Malaysia

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa