Siakap Keli
Gambar: klia2

Penumpang Kapal Terbang Tidak Perlu Risau, Tiada Lagi Caj Tambahan Mulai 1 Jun

Bermula 1 Jun ini, semua syarikat penerbangan perlu mempamerkan harga sebenar bagi tambang tiket. Oleh itu, pengguna tidak perlu risau mengenai cas tambahan dan tersembunyi kerana akan dikuat kuasakan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2019 (MACPC) pada awal Jun ini.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar, pindaan itu telah diwartakan pada 10 Mei lepas dengan tujuan menghapuskan caj tersembunyi seperti caj pembayaran kad dan yuran pentadbiran.

“Syarikat penerbangan perlu menzahirkan harga muktamad tiket penerbangan bagi tujuan pengiklanan dan juga sewaktu pembelian tiket.

Harga muktamad itu merangkumi tambang asas termasuk semua caj yang perlu dibayar kepada syarikat penerbangan, cukai dan fi yang dikenakan oleh kerajaan, fi dan caj yang ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan juga surcaj bahan api, ” katanya kepada pemberita hari ini.

Antara pindaan baharu yang telah ditetapkan ialah pembayaran balik tiket penerbangan perlu diremit kepada pengguna penerbangan dalam masa 30 hari daripada tarikh permohonan bayaran balik.

Namun begitu, syarikat penerbangan dibenarkan mengenakan maksimum lima peratus bagi fi pemprosesan sekiranya tiket yang dibeli tiada nilai bayaran balik.

Menurut Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Dr Nungsari Ahmad Radhi, bagi memudahkan pengguna mengakses laman web, FlySmart telah menaik taraf kepada aplikasi mudah alih yang boleh digunakan melalui telefon bimbit mereka.

FlySmart merupakan laman web yang mengandungi maklumat berhubung hak-hak pengguna, tip perjalanan dan platform untuk pengguna membuat aduan berkenaan khidmat penerbangan yang telah diperkenalkan pada Jun 2018.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa