Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Dua Pejalan Kaki Warga Emas Maut Dilanggar Kereta BMW

Johor Bahru : Dua pejalan kaki warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 9.5 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, dekat sini, hari ini.

Kejadian pada 5.20 pagi itu menyebabkan kedua-dua rakyat tempatan berumur 67 dan 61 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa melintas secara mengejut dari arah tengah pembahagi jalan sebelum dilanggar kereta jenis BMW dipandu seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun.

“Kedua-dua mangsa melintas jalan secara mengejut menyebabkan pemandu kereta terbabit tidak sempat membrek kenderaannya dan gagal mengelak.

“Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa telah tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Shahurinain berkata, pemandu kereta berkenaan, bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan dan  keretanya itu mengalami pelbagai kerosakan di bahagian hadapan.

Beliau berkata bedah siasat kedua-dua mangsa dilakukan pada 9 pagi tadi di Hospital Sultan Ismail, di sini, dan siasatan lanjut berhubung kejadian sedang diteruskan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.