Siakap Keli

Pening Nak Pilih Kasut Raya? Tips Ini Mungkin Berguna Untuk Anda

Rayakan setahun sekali! Kita biasa mendengar ayat sebegini menjelang hari-hari terakhir ramadan ketika masing-masing mula sibuk mencari baju raya untuk diri sendiri mahupun buat keluarga.

Ada yang sanggup membeli kain semahal mungkin untuk dipakai di pagi raya, ada yang membeli berpasang-pasang untuk dipakai jika ke rumah saudara-mara. Jika berpuas hati dengan pilihan yang dibuat dan diri sendiri mampu, ia tidak mengapa. Naun sebaliknya, jika tidak berpuasa hati dengan pilihan yang dibeli, mungkin ada yang tayang muka monyok di pagi hari raya.

Antara banyak-banyak persediaan untuk menyambut syawal, salah satu persediaanya ialah mencari kasut baru. Sesetengah individu menganggap kasut tidak berapa penting namun ia sama penting untuk dilengkapkan dengan baju raya yang dipakai.

Sebelum itu, ketahui dahulu jenis-jenis kasut kaum wanita di bawah;

JENIS KASUT

  • Peep Toes

Tumitnya didatangkan dengan pelbagai ketinggian dan memberikan penampilan seksi buat si pemakai. Semakin tinggi tumit, semakit ranggi gaya si pemakai. Di bahagian depan sedikit terdedah dan sebab itulah ia dipanggil peep toes.

  • Mules

Kasut jenis ini sesuai digayakan semsa majlis perayaan, acara formal dan juga dibawa ke pejabat. Tapak depanya rata namun bertumit. Bahagian depan kasut tertutup sementara bahagian belakang terbuka. Ringkas dan mudah dipakai, iaitu hanya dengan menyarung tanpa menggunakan pengancing dan tidak mempunyai tali.

  • Stilettos

Stilettos dianggap ‘ratu’ kasut tinggi. Ukuran tumitnya dianggarkan sekitar 4-6 inci dan bahagian depan kasut tertutup. Tampil dengan pelbagai warna, rekaan dan corak yang sesuai dipadan dengan kreatif oleh si pemakai. Buat mereka yang tidak pernah mengenakan kasut tumit tinggi, kasut ini kelihatan tidak selesa. Namun, bagi mereka yag terbiasa, ia bukanlah sesukar seperti yang difikirkan.

  • Kitten Heels

Kasut ini mempunyai ketinggian tumit yang rendah dan sesuai bagi yang mencari kasut gaya sederhana. Ukuran kasutnya yang sederhana sesuai dipadankan dengan semua jenis pakaian baju Melayu. Anggaran ketinggian tumitnya tidak melebihi 3.5cm dan ia tidak memenatkan si pemakai untuk dipakai dalam jangka masa lama.

  • Kasut platform

Kasut jenis ini bertumit namun tidak penuh seperti kasut wedges. Ia juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan stilettos dan lebih selesa. Jika anda mempunyai ketinggi yang ‘comel’, kasut jenis ini sangat sesuai buat anda.

  • Wedges (kasut baji)

Bagi mereka yang tidak ada keyakinan untuk bergaya dengan kasut platform atau stiletto, kasut jenis wedges mungkin boleh jadi pilihan anda. Ia menjadikan anda lebih ‘selamat’ dengan ketinggian anda. Kasut jenis ini mempunyai tapak yang tebal tetapi rata menjadikan pemakai berapa selesa dan stabil untuk digayakan.

  • Ballet Pump

Kasut ini mempunyai tapak yang rata dan leper menjadikan kaki kurang berasa penat untuk berjalan dalam jangka masa yang lama. Kasut ini lebih feminim dan sangat sesuai digayakan dengan baju kurung. Sesuai buat ibu-ibu yang beraya bersama dengan anak kecil atau mereka yang perlu mengendong bayi. Ia juga menjadi pilihan yang tepat untuk mereka yang mementingkan keselesaan kaki.

  • Cut Out Heels

Tumit kasutnya tinggi dan gayanya agak ‘trendy’. Hampir sama dengan stiletto, namun yang membezakan antara keduanya ialah ‘design’ yang terbuka dan ianya bertali dan mempunyai pengancing seperti sandal. Tumitnya yang tinggi membuatkan pemakai tampil elegent bersama dengan baju kurung.

WAKTU TEPAT MEMBELI KASUT

Tahukah anda, waktu paling sesuai untuk membeli kasut ialah pada waktu petang? Hal ini disebabkan saiz kaki yang mengecut pada waktu pagi dan mengembang pada waktu petang.

Semasa anda mencuba kasut baharu, pastikan terdapat ruang untuk jari kaki anda bergerak dan cuba berjalan beberapa langkah untuk melihat potongan san saiz yang sesuai. Rasakan juga keselesaanya. Jika rasa ketat dan sempit, pastikan cari kasut yang lebih besar dan selesa untuk dipakai.

JIKA BUKU LALI BESAR

Elakkan dari memakai kasut bertali di buku lali. Ini untuk mengelakkan buku lali anda nampak lagi besar. Sebaliknya, pastikan kasut yang dipilih jenis pump yang membuatkan kaki kelihatan lebih slim dan panjang.

Dari segi warna, cari warna yang lebih selamat seperti hitam, putih, kelabu, krim dan coklat. Untuk yang lebih berani, anda boleh mengenakan kasut berwarna kontras. Ini akan membuatkan anda nampak berani dan meenyerlah di pagi raya.

JIKA MEMPUNYAI KAKI LEBAR

Elakkan membeli kasut yang mempunyai potongan runcing di hadapan. Ia akan membuatkan kaki anda berasa sakit, tersepit, melecet dan membengkak. Anda boleh cuba kasut jenis tertutup jenis bulat di bahagian hadapan kerana ia menutup kaki yang ‘gemuk’. Potongan jenis ini selalunya dapat memberikan keselesaan yang berpanjangan.

Elakkan juga kasut yang bertali halus. Ia membuatkan kaki anda seperti bengkak dan isi kaki terkeluar dari jaringan tali-tali kasut. Sebaiknya, pilih kasut bertali lebar agar ia kelihatan lebih kemas dan cantik.

Sebagai penutup, pastikan membeli kasut mengikut bentuk kaki anda. Ini adalah supaya kasut yang dibeli masih boleh dipakai walaupun selepas hari raya. Jika anda membeli kasut secara online, pastikan kasut yang dibeli mengikut citarasa dan keselesaan anda, bukan sekadar harganya yang murah.

Sumber: Berita Mediacorp

Nur Shuhada Ahmad

part-time manusia