Siakap Keli

Semua Pasaraya Kuala Terengganu Diarah Tutup Pada Raya Pertama

Para pekerja di pasaraya-pasaraya daerah Kuala Terengganu pasti berasa gembira kerana akhirnya dapat beraya bersama keluarga setelah saban tahun perlu berkira-kira untuk bergilir memohon cuti. Bagi yang tidak dapat cuti, terpaksalah bekerja di hari raya sambil terkenangkan sanak saudara yang setahun sekali berjumpa.

Bermula tahun ini, kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua pasaraya di daerah tersebut ditutup menjelang hari raya pertama bagi Aidilfitri dan Aidiladha.

Tindakan tegas termasuk pembatalan lesen akan diambil sekiranya ada pemilik pasaraya yang mengingkari peraturan tersebut, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil.

“Sehubungan dengan itu pihak Majlis memohon kerjasama daripada pihak tuan atau puan untuk memastikan supaya sebarang aktiviti perniagaan pasaraya tidak beroperasi pada hari tersebut,” tegasnya.

Merujuk kepada Pekeliling Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Bil. SUK. TR. 572/344 Jilid 5 – (44), beliau menegaskan bahawa semua pengusaha perniagaan pasaraya tidak dibenarkan  menjalankan sebarang aktiviti perniagaan pada hari pertama kedua-dua perayaan tersebut.

Salinan surat bertarikh 28 Mei itu dihantar kepada Datuk Bandar, Haji Shahidan Embok, Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan Bahagian Penguatkuasaan MBKT dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu, Mat Azmi Arshad.

“Kerjasama daripada tuan atau puan amatlah kami hargai,” ujar Che Wan Mohd Zulkifli.

Gambar: Teganu Kita

Sumber: Teganu Kita

Amira

Love yourself.