Tujuh orang maut manakala 21 lagi dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki 33 pelancong Korea Selatan dan 2 kru kapal dirempuh sebuah kapal yang lebih besar ketika pelayaran di Sungai Danube, Budapest, Hungary.
CCTV menunjukkan kedua-dua kapal belayar pada arah yang sama secara bersebelahan ketika menghampiri jambatan di tengah Budapest. Punca perlanggaran belum dikenal pasti.
Pegawai terlibat mengatakan harapan untuk menjumpai mangsa yang terselamat adalah tipis berikutan mereka tidak memakai jaket keselamatan ketika pelayaran tersebut di samping situasi yang mencabar.
Sementara itu, tujuh orang mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital dalam keadaan stabil pada malam Rabu yang lepas. Kebanyakan antara mereka mengalami hipotermia – pengurangan suhu badan yang berlaku apabila badan manusia melepaskan haba pada kadar yang lebih banyak daripada haba yang diserap.
Misi menyelamat skala besar masih dijalankan.
“Sebagai jurucakap ambulans, saya tidak cenderung untuk mengatakan tiada peluang, tetapi saya mengatakan peluang untuk menjumpai mangsa terselamat adalah tipis,” kata jurucakap Perkhidmatan Ambulans Kebangsaan, Pal Gyorfi hari ini.

“Bukan sahaja suhu air, tetapi arus sungai yang kuat, wap di atas permukaan air dan pakaian yang dipakai penumpang bot membuatkan tugas menyelamat menjadi sukar,” tambahnya.
Suhu air sungai tersebut berada pada paras 10 hingga 12 darjah celsius.
Kemalangan berlaku pada 9.05 malam waktu tempatan setelah hujan lebat menyebabkan isipadu sungai meningkat melebihi paras normal, menyebabkan arus menjadi deras.
“Kedua-dua kapal menghala ke utara. Apabila mereka tiba di antara dua tiang di bawah Jambatan Margit, atas sebab-sebab tertentu, kapal Hableany memintas di hadapan kapal Viking tersebut. Apabila kapal Viking itu bersentuhan, ia (Hableany) terbalik dan dalam tempoh 7 saat, ia tenggelam,” kata Kolonel Polis, Adrian Pal dalam laporan media antarabangsa.

Tambah Adrian, beberapa orang terjatuh ke dalam air dari Hableany dan pasukan beliau tidak dapat memastikan samada masih terdapat mangsa terperangkap di dalam badan kapal.
Sementara itu, tiada mangsa tercedera dalam kapal Viking.

Kapal telah dijumpai, tapi perlukan beberapa hari untuk ambik bot dari dasar sungai
Misi menyelamat diteruskan dengan bantuan penyelam, spotlight dan radar yang merangkumi beberapa kilometer di sepanjang sungai bagi mencari 19 mangsa yang masih hilang termasuk seorang kanak-kanak berusia 6 tahun.
Jurucakap agensi pelancongan terlibat, Lee Sang-moo berkata seramai 38 waris mangsa dari Korea Selatan dijadualkan akan terbang ke Hungary pada malam ini dalam empat penerbangan berasingan dan dijangka tiba pada tengah hari esok.
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in melalui Kementerian Luar Negara telah mengerahkan pasukan petugas untuk membantu misi menyelamat di tempat kejadian.
Sepasukan pegawai dari negara tersebut terdiri daripada agensi bomba, tentera laut dan pengawal pantai dihantar ke Hungary bagi membantu misi menyelamat dan penumpang serta waris terlibat.
Pasukan tersebut turut disertai anggota penyelamat yang pernah terlibat dalam misi menyelamat ketika tragedi feri terbalik di Korea Selatan yang membunuh 300 orang – tragedi maritim terbesar di negara itu.
Salah seorang mangsa terselamat ditemui berhampiran Jambatan Petofi, kira-kira dua batu dari arah parlimen.

Danube merupakan sungai kedua terpanjang di Eropah selepas Volga dengan jarak 2,850 km merentasi 10 negara termasuk Hungary, Jerman dan Serbia.
Sumber: Evening Standard