Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dua Maut, Lima Cedera Dalam Kemalangan Di Lenggong
Dua individu maut manakala lima lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah kenderaan di Jalan selepas Restoran Tasik Raban, Lenggong, petang tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.57 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong dikejarkan ke lokasi.
Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada jam 5.07 petang dan mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah Honda Odyssey dan sebuah Toyota Vios. Beberapa mangsa juga dilaporkan tersepit di dalam kedua-dua kenderaan berkenaan.
Komander Operasi, PBK I Mohd Efendy Md Zin berkata, anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat menggunakan Konsep SAVER serta peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan penumpang Honda Odyssey dan seorang lelaki berusia 41 tahun yang memandu Toyota Vios disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, lima lagi mangsa yang mengalami kecederaan berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak KKM untuk menerima rawatan lanjut.
Operasi menyelamat berjaya dikawal pada jam 5.40 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.12 petang.
JBPM Negeri Perak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat serta mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan berhemah, mematuhi had laju dan mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.