Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mayat Lelaki Tanpa Identiti Ditemukan Di Lorong Kecemasan PLUS

mayat plus
Sumber: BERNAMA

Mayat Lelaki Tanpa Identiti Ditemukan Di Lorong Kecemasan PLUS

ALOR GAJAH, 25 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki yang dipercayai warga tempatan ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di lorong kecemasan di Kilometer 198.5 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata polis menerima maklumat tentang penemuan lelaki itu kira-kira 6.30 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, polis mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti, dipercayai warga tempatan dan dianggarkan berusia lingkungan 40-an," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa ditemukan dalam keadaan berpakaian tidak lengkap serta mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala.

Ahmad berkata berdasarkan siasatan awal di lokasi, polis tidak menolak kemungkinan mangsa yang disyaki berjalan kaki telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti.

"Bagaimanapun, punca sebenar kejadian dan kematian masih dalam siasatan, manakala mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian serta membantu siasatan lanjut," katanya.

Orang ramai diminta tampil bantu siasatan

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau memiliki rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ketika melalui kawasan KM198.5 Lebuhraya Utara–Selatan arah utara antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi hari ini diminta tampil untuk membantu siasatan.

Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Loh Xia Gao menerusi talian 019-5382353 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Alor Gajah.