KUALA LUMPUR, Mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kompeni Kadet di Akademi Tentera Amerika Syarikat West Point, bukanlah tugas yang mudah bagi Abdul Halim Abdul Rahim.
Namun sifat kepimpinan anak muda berusia 23 tahun itu, berjaya mengetuai 120 anggota pasukannya dengan cemerlang, selain menonjolkan kemampuan beliau untuk menjadi pegawai tentera darat berkaliber dan mempunyai karisma tersendiri.
“Ini satu daripada pengalaman berharga bagi saya selepas ‘terbang’ ke New York seawal usia 19 tahun untuk menjalani latihan ketenteraan.
“Antara cabaran ketika mengetuai kompeni ini ialah memimpin rakan sepasukan yang sebaya. Oleh itu, saya perlu ada keyakinan dan banyak bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu kepada Bernama.
Abdul Halim merupakan seorang daripada 15 kadet tentera darat antarabangsa dari beberapa negara yang menerima biasiswa Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat pada 2015, dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di akademi tentera berkenaan.
Baru sahaja pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajiannya, Abdul Halim yang pernah menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 2012 dan 2013, turut berkongsi pengalamannya menjalani latihan ketenteraan selama empat tahun di akademi yang terletak di New York itu.
“Untuk mendapat biasiswa ini saya perlu ‘bersaing’ dengan rakan-rakan semasa menuntut di peringkat asasi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 2014. Saya perlu melepasi ujian fizikal selama setahun dan temuduga dikendalikan Kedutaan Amerika Syarikat.
“Saya mengambil masa selama satu semester untuk cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran di sana. Saya banyak diberi pendedahan mengenai kursus lebih ‘advance’ seperti kursus payung terjun, abseiling dari helikopter dan sebagainya kerana mempunyai kelengkapan dan peruntukan yang besar,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Abdul Halim turut mempunyai pengalaman berpuasa ketika melakukan latihan asas ketenteraan yang dijalankan setiap kali musim panas, dari Mei sehingga Ogos.
“Puasa di sana lebih kurang 16 jam. Walaupun kami kumpulan minoriti Islam, kami bebas melakukan ibadah tanpa sekatan. Latihan juga berjalan seperti biasa dan mereka mempunyai jangkaan yang sama terhadap prestasi kami sama seperti orang lain,” katanya yang turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Kelab Kadet Muslim di akademi berkenaan sejak 2018.
Sementara itu, Abdul Halim berkata antara pengalaman tidak dapat dilupakan ketika menuntut di sana ialah berjaya menghasilkan ‘pembekalan dron berautonomi menerusi sistem airdrop’ sebagai projek tahun akhirnya yang bertujuan membekalkan tentera dengan peralatan khusus dalam masa singkat.
Hasil projeknya itu dibawa menyertai pertandingan reka bentuk askar di Massachusetts Institute of Technology pada Mac lepas, dan berjaya meraih tempat ketiga.
Kini, setelah menamatkan pengajian, beliau bakal melapor diri di Kementerian Pertahanan dan akan menggalas tugas menjaga keamanan negara sebagai Pegawai Tentera Darat seperti diimpikan sejak kecil.
“Saya bakal meneruskan legasi ditinggalkan ayah suatu masa dahulu yang pernah menjadi pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia. Kini, saya bakal berkhidmat kepada tanah air tercinta,” katanya.
Congrats to #Malaysia’s Abdul Halim Abdul Rahim, who graduated from The United States Military Academy at West Point last week. @WestPoint_USMA pic.twitter.com/Zn0OqHHydk
— U.S. Embassy KL (@usembassykl) May 30, 2019
— BERNAMA