Siakap Keli
Foto: @Sofia_Latifi

(Video)Mengalir Air Mata Si Ayah, Baru Balik Lepas Solat Tarawih Anak-Anak Buat Kejutan Hadiahkan Kereta Baru

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kasih sayang yang diberikan oleh ibu dan ayah memang tidak mampu untuk kita sebagai anak membalasnya. Dari kecil, mereka menatang kita bagai minyak yang penuh sehinggalah kita dewasa, mereka tidak henti-henti mendoakan kita.

Walaupun mereka tidak minta apa-apa balasan, sedikit penghargaan daripada anak-anak tersayang kadang kala cukup untuk membuatkan mereka mengalirkan air mata.

Itulah yang telah dirasai oleh ibu bapa kepada lapan orang anak, En. Latifi Ismail dan Puan Jamilah Ahmad selepas menerima sebuah kereta jenis Proton Saga daripada anak-anak baru-baru ini.

Kejadian itu telah dirakam dan videonya telah dimuatnaik oleh salah seorang anak mereka, Nuraina Sofia melalui akaun Twitter-nya semalam.

Semasa kejadian, kedua ibu bapa bertuah ini baru pulang dari menunaikan solat terawikh dengan menaiki motorsikal terkejut apabila melihat sebuah kereta Proton Saga berwarna merah tidak dikenali di hadapan rumah mereka.

Namun, selepas mereka membaca sekeping nota yang bertulis “Happy Anniversary Mak Abah 35th” yang ditinggal di atas cermin hadapan kereta berkenaan, mereka sudah mula menyedari bahawa kereta itu adalah milik mereka yang dihadiahkan oleh anak-anak.

Tidak lama selepas itu, Cik Nuraina Sofia dan adik-beradiknya yang lain yang sejak awal menyorok tiba-tiba keluar dan momen sedih mula terjadi. Rata-rata netizen mengakui gagal menahan air mata terutama selepas melihat tangisan kegembiraan ayah mereka di saat-saat akhir video tersebut.

Foto: @Sofia_Latifi
Foto: @Sofia_Latifi
Foto: @Sofia_Latifi

Menurut apa yang diceritakan oleh cik Nuraina kepada kami, mereka adik-beradik mula bercadang untuk membeli sebuah kereta baharu untuk mak dan abah mereka selepas kereta lama mereka sering mengalami masalah.

Sejak daripada itu, En. Latifi dan Pn. Jamilah telah menggunakan kereta kakak kepada Cik Nuraina untuk bergerak ke mana-mana sebelum menerima kereta baharu mereka ini.

“Kebetulan pula bulan 4 (14/4) adalah ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-35. Jadi kami pun hadiahkan la sempena anniversary dan hadiah hari raya utk mereka berdua,” tambahnya lagi.

Tindakan mereka ini jelas boleh dijadikan teladan oleh kita semua namun ia tidak bermakna kita juga perlu memberikan hadiah berbentuk kereta dan sebagainya kepada kedua ibu bapa kita.

Berilah sekadar apa yang kita mampu dan jangan lupa untuk doakan mereka dalam setiap solat yang kita dirikan serta ketahuilah, walau sekecil mana pun penghargaan yang kita berikan kepada ibu dan bapa kita, ia sudah cukup untuk membuatkan mereka menangis terharu dan rasa dihargai.

Sumber: Twitter @Sofia_Latifi

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi