Siakap Keli

Lebih 150,000 Tiket KTMB Masih Ada Bagi Yang Ingin Kembali Dari Cuti Raya

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) — Lebih 150,000 tiket kereta api masih lagi ada untuk mereka yang ingin kembali dari kampung halaman ke Kuala Lumpur dengan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) dan kereta api antara bandar KTM, selepas bercuti Hari Raya Aidilfitri mulai hari ini sehingga 16 Jun.

Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Ahmad Asri Khalbi berkata tiket masih ada untuk mereka dari utara atau selatan yang ingin ke Kuala Lumpur dan sebaliknya termasuk pada hujung minggu ini.

“Kami masih ada 152,440 tiket untuk mereka yang ingin berjalan-jalan selepas musim cuti terutamanya dari Padang Besar ke Kuala Lumpur, Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan Tumpat, Kelantan ke Kuala Lumpur dan sebaliknya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau menggesa orang ramai untuk mendapatkan tiket dengan segera kerana kadar jualan tiket adalah pantas memandangkan cuti sekolah dan Hari Raya Aidilfitri berakhir hujung minggu ini.

Mereka boleh menempah tiket secara dalam talian menerusi www.ktmb.com.my atau aplikasi KTMB Mobticket yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store.

Tiket juga boleh dibeli menerusi perkhidmatan kaunter di 105 stesen KTMB di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Asri berkata operasi KTMB berjalan dengan lancar biarpun hujan lebat dalam beberapa hari lepas.

“Berdasarkan laporan hari ini, walaupun keadaan cuaca tidak menentu, kereta api tiba dan berlepas mengikut waktu yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Beliau berkata lebih ramai memilih KTMB untuk pulang selepas musim perayaan kerana ia menjimatkan masa dan mereka boleh mengelakkan kesesakan di lebuh raya yang berjam-jam lamanya.

Untuk keselamatan penumpang, KTMB juga memastikan setiap stesen dikawal ketat, terutama pada hari-hari puncak untuk penumpang kembali daripada cuti perayaan dengan polis ditempatkan di stesen-stesen utama seperti KL Sentral, Butterworth dan JB Sentral.

Sumber: BERNAMA

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.