Siakap Keli
Gambar: Bernama

Perintah Berkurung Di Tujuh Daerah Di Sabah Dilanjutkan Sehingga 25 Jun Ini

KOTA KINABALU, 9 Jun: Berikutan usaha kumpulan militan Abu Sayyaf dari selatan Filipina yang masih cuba mencerobohi perairan Sabah dan menculik bagi mendapatkan wang tebusan melalui jenayah rentas sempadan, perintah berkurung di perairan terlibat dilanjutkan sehingga 25 Jun ini.

Perintah yang sepatutnya berakhir esok telah berkuatkuasa ke atas perairan di tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, orang ramai yang tinggal di kawasan itu dikehendaki berada di dalam rumah dan orang luar tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang perintah berkurung berkuatkuasa.

Tayudin Anjut, 48 merupakan salah seorang dari 5 rakyat Malaysia yang diculik militan Abu Sayyaf di perairan Lahad Datu dan ditahan selama 8 bulan. (Gambar: Bernama)

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung juga bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di kawasan daratan ESSZone, ” katanya.

Kata Omar, perintah berkurung dilakukan bagi memudahkan gerak kerja memantau pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin pengusaha chalet dan nelayan melalui kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.