Siakap Keli

Hebatnya Teknik Netizen Kita ‘Membawang’ Sampai Jadi Bahan Kajian USM

Laman sosial pada waktu ini sudah menjadi medan bagi warganet menyuarakan pendapat masing-masing. Pendapat yang diberikan boleh hadir dalam pelbagai cara iaitu secara sopan ataupun dalam bentuk tomahan kepada sesuatu hantaran di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan juga Instagram.

Dalam kata lain, komen-komen yang berbentuk membahan ini juga dikenali ‘membawang’. Walau bagaimanapun, istilah ‘membawang’ dan juga ‘membahan’ sebenarnya tergolong di dalam istilah ketidaksopanan. Perkara ini adalah kerana kata-kata yang digunakan sedikit tidak sensitif.

Berhubung perkara itu, satu kajian telah dilakukan oleh pihak Universiti Sains Malaysia (USM), sekaligus membuktikan beberapa jenis ketidaksopanan yang terkandung di dalam aktiviti ‘membawang’ oleh netizen di laman sosial. Pengkaji membahagikan empat strategi yang digunakan oleh netizen untuk ‘membawang’ dan juga ‘membahan’

Antara empat strategi tersebut ialah:

  1. Strategi Ketidaksantunan Secara Langsung
  2. Strategi Ketidaksantunan Positif
  3. Strategi Ketidaksantunan Negatif
  4. Strategi Penggunaan Sindiran

Kebiasaannya, netizen akan cuba ‘membawang’ apabila terdapat isu yang dirasakan tidak bersependapat dengan pandangan peribadinya.

Menerusi kajian yang dilakukan, pengkaji menggunakan data yang mana seseorang melalui postingnya mengemukakan pandangan bahawa pelajar-pelajar sekarang seorang yang manja dan berasa terbeban apabila ditimpa kesusahan.

Melalui data asal tersebut, boleh dikenal pasti beberapa empat strategi yang digunakan oleh netizen untuk membalas atau membidas kembali pernyataan tersebut.

Strategi ketidaksantunan secara langsungĀ digunakan bagi memberi ancaman air muka kepada pendengar secara langsung. Perkara ini membawa maksud bahawa netizen akan membawang secara nyata tanpa kiasan yang tersembunyi. Tujuan strategi ini adalah untuk memalukan penghantar asal secara langsung atas hujah yang diturunkannya.

Strategi ketidaksantunan positif pula bertujuan untuk memalukan seseorang dengan cara tidak menunjukkan perasaan simpati langsung dan penggunaan bahasa yang tidak jelas. Strategi ini kebiasaannya akan menggunakan kata-kata kasar sehingga boleh menyebabkan penerima rasa terhina atau tergugat. Antara perkataan yang sudah kerap kali dilihat di dalam komen-komen netizen ialah kata ‘bodoh’.

Seterusnya, strategi ketidaksantunan negatif pula digunakan sehingga boleh menyebabkan air muka negatif seseorang rosak. Melalui strategi ini, terdapat unsur-unsur negatif yang menakutkan seperti ejekan, penghinaan dan ugutan. Strategi ini juga hadir bersama serangan balas menggunakan maklumat lain yang digunakan oleh penutur asal itu sendiri.

Strategi terakhir iaitu strategi penggunaan sindiran dianggap sebagai strategi yang paling dikuasai oleh netizen dan kreatif. Perkara ini adalah kerana netizen menggunakan kata sindiran untuk menyampaikan sesuatu kepada orang lain. Nilai kesantunan di dalam strategi ini anya dilihat berpura-pura wujud di dalam mesej yang disampaikan oleh netizen.

Berdasarkan keempat-empat strategi ini, netizen akan ‘membawang’ sekiranya mereka mendapati bahawa hujah yang dikeluarkan oleh orang lain tidak menepati pandangan mereka dan boleh menimbulkan kemarahan serta kekecohan. Dalam kata lain, netizen akan membawang sekiranya hantaran asal oleh orang lain itu bersifat membahan atau membawang.

Sumber: Ajar Malaysia

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa