Pagi tadi seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita persaraan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. Pengumuman tersebut nyata menimbulkan rasa sedih di kalangan peminat sukan badminton tanah air mahupun di peringkat antarabangsa.
Terasa hiba sekali tatkala melihat riak duka Chong Wei sewaktu melafazkan bait perkataan semasa sidang media khas berkenaan. Beliau yang nekad menggantung raket di atas faktor kesihatan turut mengalirkan air mata saat menjelaskan keputusannya itu.
Dan hari ini dapat dilihat banyak media yang menceritakan kisah mengenai kejayaan manis yang pernah dimiliki oleh Chong Wei. Media antarabangsa juga tidak ketinggalan membuat liputan tentang perkhabaran duka ini.

Terbaru, Lin Dan seorang pemain badminton professional dunia yang merupakan seteru di gelanggang menyatakan perasaan sedihnya di atas keputusan Chong Wei. Persahabatan dua jaguh badminton ini sememangnya diketahui oleh umum.
Walaupun terlihat seperti seteru yang saling membenci di arena badminton, ia tidak menghalang persahabatan yang terjalin lebih dari 15 tahun ini.

Lin Dan mendedikasikan sebuah lagu kepada Chong Wei melalui sosial medianya Weibo. Lagu dalam bahasa Mandarin yang berjudul ‘Friend, Dont Cry’ dinyanyikan penyanyi David Lui ditujukan khas buat Chong Wei.
Lebih pilu apabila membaca ciapan yang ditulis oleh Lin Dan:
“Aku kini hanya berseorangan memasuki gelanggang, tiada siapa lagi menemaniku”

Sumber : Mothership