Singapura akan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun dan umur pengambilan semula kerja kepada 70 tahun mulai 1 Januari 2029, setahun lebih awal daripada sasaran asal.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha negara berkenaan untuk menyediakan persekitaran pekerjaan yang lebih mesra pekerja berusia serta menggalakkan tenaga kerja daripada pelbagai peringkat umur.
Kumpulan Kerja Tiga Pihak Mengenai Pekerjaan Warga Emas berkata, perubahan itu memberikan jaminan lebih besar kepada pekerja berusia yang mahu terus bekerja.
“Ini memberikan jaminan lebih besar kepada pekerja berusia bahawa mereka boleh terus bekerja sekiranya mereka mahu,” menurut kumpulan kerja itu pada 26 Oktober.
Sebelum ini, umur persaraan Singapura dinaikkan kepada 64 tahun pada Julai, manakala umur pengambilan semula kerja ditetapkan pada 69 tahun.
Kumpulan kerja yang ditubuhkan pada Julai 2025 bagi mengkaji semula strategi pekerjaan warga emas Singapura itu mengemukakan enam cadangan yang telah diterima kerajaan.
Secara keseluruhan, cadangan berkenaan bertujuan membantu warga emas kekal bekerja atau kembali ke alam pekerjaan selepas berehat, menyokong mereka yang mahu bekerja melepasi umur persaraan berkanun serta menyediakan bantuan lebih bersasar kepada pekerja berusia berpendapatan rendah.
Kumpulan kerja itu terdiri daripada wakil Kementerian Tenaga Manusia Singapura, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura.
Cadangan tersebut dibuat selepas rundingan dengan lebih 1,000 pihak berkepentingan, termasuk majikan, wakil industri dan kesatuan sekerja, pekerja, profesional sumber manusia serta ahli akademik.
Perkenal Susunan Kerja Lebih Fleksibel
Antara cadangan utama ialah memperluas pilihan susunan kerja fleksibel, khususnya bagi pekerja berusia yang mahu mengurangkan atau menyesuaikan beban kerja mengikut keperluan masing masing.
Menteri Negara Tenaga Manusia, Dinesh Vasu Dash berkata, cadangan itu bertujuan membantu pekerja berusia mendapatkan pekerjaan yang bermakna dan mampan melalui kaedah kerja yang lebih fleksibel.
Menurutnya, sesetengah pekerja mungkin mahu kekal dalam pekerjaan sedia ada untuk tempoh lebih lama, manakala yang lain mungkin memilih peranan berbeza atau menyesuaikan kadar kerja mengikut perubahan keadaan peribadi.
Data Kementerian Tenaga Manusia bagi 2024 menunjukkan 85.5 peratus pekerja pemastautin sepenuh masa berusia antara 50 hingga 64 tahun ditawarkan susunan waktu kerja fleksibel.
Sementara itu, 78.7 peratus ditawarkan pilihan bekerja dari lokasi berbeza, manakala 74.5 peratus diberikan pilihan susunan beban kerja fleksibel.
Bagi membantu pekerja berusia kembali bekerja serta menggalakkan lebih banyak majikan menyediakan pilihan berkenaan, kumpulan kerja mencadangkan penubuhan program baharu dan pejabat khusus bagi menyelaras susunan beban kerja fleksibel.
Program itu akan menggantikan Geran Pengambilan Semula Kerja Separuh Masa yang sebelum ini membantu kira kira 68,500 pekerja berusia dan 7,800 majikan.
Pejabat baharu itu akan diterajui Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja dengan kerjasama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan serta Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura.
Usaha berkenaan turut merangkumi penstrukturan semula pekerjaan kepada peranan lebih kecil supaya kemahiran pekerja berusia dapat dipadankan dengan keperluan majikan.
Bantuan Kewangan Untuk Pekerja Berusia
Selain perubahan susunan kerja, kumpulan kerja turut mencadangkan peningkatan pelepasan cukai pendapatan bagi pekerja berusia yang terus bekerja selepas mencapai umur persaraan dan pengambilan semula kerja berkanun.
Langkah itu bertujuan meningkatkan pendapatan bersih mereka serta menggalakkan penyertaan berterusan dalam pasaran pekerjaan.
Kumpulan kerja juga mencadangkan pelarasan jumlah minimum dan maksimum Bayaran Bantuan Pekerjaan bagi pekerja berusia yang tidak dapat ditawarkan peranan pengambilan semula kerja yang sesuai.
Bayaran berkenaan merupakan bantuan kewangan sekali sahaja yang perlu diberikan oleh majikan yang layak sebagai langkah terakhir apabila mereka tidak dapat menyediakan pekerjaan sesuai kepada pekerja yang mencapai umur persaraan minimum.
Dalam usaha mengekalkan pekerja berusia, kumpulan kerja turut mencadangkan penggantian Kredit Pekerjaan Warga Emas yang akan tamat pada penghujung 2027 dengan Kredit Pengambilan Semula Kerja baharu mulai 2028.
Skim sedia ada menyediakan bantuan sehingga tujuh peratus dalam bentuk pengurangan kos gaji kepada majikan yang mengambil pekerja warga Singapura berusia 60 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan di bawah S$4,000.
Cadangan terakhir pula melibatkan penambahbaikan Skim Tambahan Pendapatan Workfare dan pengemaskinian Skim Kredit Gaji Progresif bagi membantu meningkatkan gaji serta kecukupan simpanan persaraan pekerja berusia berpendapatan rendah.
Langkah itu turut bertujuan memberikan sokongan lebih besar kepada majikan untuk menaikkan gaji secara mampan.
Menurut kumpulan kerja berkenaan, pekerja berusia berpendapatan rendah berdepan cabaran lebih besar untuk memastikan kecukupan pendapatan dan simpanan persaraan.
Oleh itu, usaha mengekalkan mereka dalam pekerjaan yang produktif dan memberikan jaminan kewangan perlu diberi perhatian sekiranya mereka memilih untuk terus bekerja.
Butiran lanjut mengenai pelaksanaan cadangan dan syarat geran dijangka diumumkan pada separuh pertama 2027 ketika perbahasan peruntukan Kementerian Tenaga Manusia Singapura.

