Siakap Keli
Gambar Hiasan

Tak Nak Anak Ditimpa Masalah Kesihatan, Ini 12 Minuman Yang Tidak Patut Anak Anda Ambil Setiap Ibu Bapa Perlu Tahu

Setiap ibu bapa, pasti inginkan yang terbaik buat anak masing-masing. Misalnya soal pemakanan anak-anak adalah antara perkara yang sering dititikberatkan dan diberi perhatian dari masa ke masa.

Namun begitu, dalam sesetengah keadaan ada ibu bapa yang tidak peka dengan makanan ataupun minuman yang disediakan untuk anak masing-masing. Ada kalanya, mereka tidak menyangka misalnya minuman yang diberikan kepada anak-anak sebenarnya tidak baik untuk kesihatan misalnya susu kocak.

Berikut adalah 12 minuman yang tidak patut ibu bapa berikan pada anak-anak seperti yang dikongsikan oleh Hello Doktor.

Semua pakar perubatan dan jurulatih kecergasan sebulat suara mengatakan dehidrasi adalah sangat penting bagi tubuh badan manusia. Menurut mereka, dehidrasi dapat dicapai dengan minum air pada jumlah yang secukupnya.

Persoalannya, adakah semua air selain air putih mampu memberi kesan kepada tahap hidrasi tubuh badan?

Persoalan ini sangat penting bagi setiap ibu bapa kerana mereka perlu memastikan anak mereka kekal berhidrasi dengan memberikan jumlah air yang diperlukan oleh tubuh badan. Bagi mencapai tujuan ini, mereka juga perlu tahu minuman jenis apa yang tidak patut anak mereka ambil. Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

#1. Minuman bergas

Minuman bergas atau bikarbonat mempunyai kandungan gula, asid dan bahan pewarna yang sangat tinggi. Ia mengandungi sekurang-kurangnya 9 sudu kecil gula yang mampu merosakkan gigi si kecil. Pendek kata, ia tidak langsung mempunyai sebarang khasiat.

#2. Minuman berkafein

Minuman berkafein seperti kopi dan teh sangat berbahaya kepada anak anda kerana ia mampu memberi rangsangan dan tindak balas terlampau kepada anak anda seperti sukar untuk tidur.

#3. Minuman berjeli

Minuman berjeli seperi cincau, puding, ‘nata de coco’ atau ‘bubble’ tidak sihat untuk anak anda kerana ia mengandungi kandungan gula dan kalori yang sangat tinggi.

#4. Susu kocak

Susu kocak atau ‘milkshake’ sememangnya minuman yang digemari ramai terutamanya kanak-kanak kerana teksturnya yang berkrim dan rasanya yang berlemak. Pun begitu, mungkin ramai tidak tahu bahawa ia mengandungi kandungan gula dan lemak tepu yang tinggi.

#5. Minuman tenaga

Minuman tenaga adalah minuman yang tidak sesuai dengan namanya kerana ia mengandungi kandungan gula, kafein dan kalori yang sangat tinggi. Ia juga mampu mengakibatkan tekanan darah menaik lalu menganggu tidur anak anda. Ini sekaligus akan membawa kepada masalah lain seperti diabetes dan obesiti.

#6. Minuman herba

Minuman herba kebanyakannya diambil oleh kanak-kanak sebagai suplemen untuk menurunkan berat badan. Namun begitu, ia sangat bahaya kerana apa yang terdapat pada label tidak semestinya sama dengan kandungannya.

#7. Minuman diet

Minuman diet yang juga diambil oleh kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan bukanlah mempunyai kesan yang sama seperti namanya. Ia mengandungi bahan kimia dan pemanis tiruan yang sangat berbahaya buat kanak-kanak.

#8. Minuman yogurt

Minuman yogurt mungkin dianggap oleh ibu bapa sebagai minuman yang sihat kerana kredibilitinya yang berada pada aras yang sama dengan minuman kultur yang lain dan mampu melancarkan pergerakan usus yang sihat. Pun begitu, kebanyakan minuman jenis ini sebenarnya menggunakan pewarna dan perasa tiruan.

#9. Minuman isotonik

Minuman isotonik dianggap sebagai air yang sihat dan merupakan alternatif yang lebih bagus daripada air putih. Namun begitu, ia adalah tidak benar kerana minuman jenis ini sebenarnya mengandungi kandungan gula yang sangat tinggi.

#10. Manisan tempatan

Manisan tempatan seperti cendol, air batu campur, laici kang sememangnya merupakan identiti masyarakat Malaysia dan kita tidak boleh mengelakkan diri daripada mencubanya. Namun begitu, kandungan gula, pewarna dan perasa yang sangat tinggi adalah berbahaya kepada kanak-kanak.

#11. Jus dalam tin

Jus dalam tin kelihatan seperti minuman yang sihat dan merupakan versi jus buah-buahan sebenar yang disejukbeku dan disimpan di dalam tin. Pun begitu, ia adalah sama sekali tidak sama dengan jus buah-buahan sebenar kerana kandungan gulanya yang jauh tinggi berbanding versi yang asli.

#12. Kordial

Kordial juga merupakan antara versi jus buah-buahan sebenar yang sebenarnya tidak sihat untuk kanak-kanak. Ini kerana ia bukanlah menggunakan pati atau pes buah-buahan yang sebenar sebaliknya menggunakan pewarna dan perasa tiruan yang jelas sekali berbahaya buat kesihatan anak anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.