Siakap Keli
Gambar Hiasan

Betul Ke Boleh Bertemu Dengan Kucing Peliharaan Di Syurga? Ini Penjelasan Mufti

Kebanyakkan orang pastinya mempunyai haiwan peliharan di rumah. Ada yang menjadikan ia sebagai hobi dan ada juga yang memilih untuk memelihara haiwan berkenaan sebagai teman tatkala sunyi. Terdapat pelbagai jenis haiwan yang boleh dibela namun selalunya ramai yang akan membela kucing.

Sesiapa sahaja pasti ‘tertawan’ melihat keletah haiwan tersebut, gelagatnya yang manja menjadi salah satu sebab utama mengapa ia sering dijadikan ‘sahabat’. Malah ada kajian yang menyatakan bahawa apabila seseorang membela kucing, mereka akan menjadi hidup yang lebih positif (ceria) dan kurang stress.

Gambar Hiasan

Pencinta kucing semestinya tahu betapa pentingnya ‘kehadiran’ seeokor kucing dalam hidup mereka. Bahkan ada sesetengah individu yang meratapi saat kematian kucing mereka. Bak kata orang, hanya mereka yang pernah mengalaminya akan memahami.

Namun, persoalan mula timbul apabila ada yang bertanya,

Bolehkah saya bertemu semula dengan kucing peliharaan kesayangan saya yang telah meninggal dunia di akhirat nanti ?

Oleh itu kami memetik semula penjelasan terkini (2019) yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutan untuk menjawab segala persoalan dan menghuraikan segala kekeliruan.

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam, demikian juga kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.”

Riwayat Muslim (1955)

Hadis ini jelas dalam menyatakan kewajiban berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Kata Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di :

“Maka termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia, dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan)’’. 

Rujuk Bahjah Qulub Al-Abrar, Al-Sa’di (1/127).

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berkenaan bolehkah seseorang itu bertemu dengan haiwan peliharaannya yang disayangi di akhirat kelak.

Berikut kami kongsikan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya (pada hari akhirat kelak). (Iaitu) setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berkata kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘’Jadilah kamu tanah’’.

Lihat Tafsir Al-Thabari (24/181)

Ini menunjukkan, keadaan haiwan di akhirat kelak tidaklah sama dengan keadaan umat manusia. Dari sudut amalan mereka tidak akan dihitung pada kebaikan dan keburukannya, begitu juga mereka tidak dimasukkan ke dalam syurga-syurga Allah seperti golongan manusia yang bertakwa. Sebaliknya, kesemua haiwan akan menjadi debu tanah pada hari akhirat kelak.

Gambar Hiasan

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa setiap manusia itu lebih utama untuk berusaha dalam memastikan dirinya ditempatkan oleh Allah S.W.T ke dalam syurga melalui amalan soleh di dunia. Seperti yang diketahui, menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan adalah termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang menuju ke syurga.

Justeru, saat seseorang itu berada di syurga kelak sudah pastilah segala kehendak dan kemahuannya akan dituruti sebagai ganjaran dari Allah S.W.T buat dirinya. Inilah yang Allah S.W.T firmankan dengan kata-Nya:

Maksudnya:

“Di dalamnya (syurga) terdapat perkara-perkara yang menjadi syahwat (kehendak) kepada jiwa dan juga perkara-perkara yang melazatkan pemandangan mata.”

Surah Al-Zukhruf (71)

Imam Al-Thabari apabila mensyarahkan ayat ini meletakkan sebuah riwayat bahawa seorang arab badwi bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

Maksudnya:

“Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mencintai unta. Adakah di syurga nanti ada unta ?’’Lalu baginda berkata: ‘’Wahai arab badwi, sekiranya Allah memasukkan kamu ke dalam syurga Insha Allah, maka di dalamnya terdapat apa sahaja yang kamu kehendaki dan melazatkan pemandangan matamu”.

Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (2/641)

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.