Siakap Keli

“Kena Maki, Ludah Atas Lantai Yang Tengah Disapu,” Hina Sangat Ke Status ‘Cleaner’ Di Mata Pelajar Universiti?

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tidak semua beruntung mendapat pendidikan dan pekerjaan yang baik. Ada yang terpaksa melakukan apa pun pekerjaan halal asalkan dapat menampung kelangsungan hidup. Walau apa pun pangkat yang membezakan, kita sebagai sesama manusia harus belajar menghormati semua tanpa memandang rendah kepada orang lain.

Seperti perkongsian kisah mengenai seorang pekerja pembersihan oleh Mohamad Reza yang menyentuh hati ramai ini. Nampak biasa tugas mereka membersihkan kawasan, namun tidak siapa tahu di dalam hati terpaksa menyimpan perasaan sedih yang mendalam. Pernah dimaki, malah diludah mungkin kerana tidak setaraf dengan mereka yang berpendidikan.

Moga secebis kisah ini dapat membuka mata dan merubah persepsi semua agar lebih menghargai pekerjaan seperti yang dilakukan oleh seorang ‘cleaner’ di mana-mana kawasan sekalipun. Belajarlah untuk menghormati kerana ianya adab yang perlu ada dalam diri setiap individu.

Semalam saya pulang awal ke kolej kediaman universiti, memandangkan masih ada urusan yang perlu diselesaikan, walaupun pelajar lain masih bercuti, peperiksaan akhir semester bermula minggu depan. Ketibaan saya disambut oleh polis kampus. Parkir kosong. Blok sunyi.

Pagi tadi selepas pulang dari bersarapan di pekan, saya bertemu dengan kontraktor pembersihan yang sedang menyapu lantai di sekitar koridor blok asrama.

Gambar : Mohamad Reeza

“Awal masuk kerja bang, orang lain cuti lagi”. Saya sapa dengan senyuman. Membuka perbualan.

“Haah dah kerja dik, dari hari ahad lagi”. Beliau hanya mengangkat kepala sedikit tanpa tangannya berhenti menyapu.

Saya senyum. Dikala orang masih cuti beraya, beliau sudah mula bekerja. Saya guna peluang waktu lapang yang ada untuk berbual dan bertanya khabar. Sejujurnya, itulah kali pertama saya sempat berbual dengan beliau. Kebiasaannya hanya sempat memberi salam ketika bertembung hendak ke kelas waktu waktu pagi.

Beliau masih menyapu lantai. Matanya tertumpu pada bulu-bulu penyapu yang bergerak menolak habuk dan sesawang, alat dia mencari rezeki. Saya memandang penuh minat. Minat pada orang yang berhati cekal.

“Bang, selama abang kerja sini, ramai tak pelajar yang ucap terima kasih dekat abang?”. Saya bertanya spontan.

Kali ini tangannya berhenti menyapu. Beliau mengangkat kepala memandang saya. Tampak bibirnya sedikit muncung, tanda jawapan kepada soalan saya. Matanya tersenyum. Saya diam.

“Adik perasan tak ramai pekerja baru?” beliau mengaju soalan pada saya. Saya hanya menggeleng.

“Ramai yang berhenti sebab tak tahan. Kebanyakkan sebab sikap pelajar sendiri”. Beliau membuka cerita. Saya hanya mendengar penuh perhatian.

Dari perkongsian beliau, sepanjang bekerja, hanya dua atau tiga orang pelajar yang menegur atau berterima kasih kepada pekerja kontraktor pembersihan sepertinya jika bertembung. Selebihnya hanya bermasam muka dan cercaan.

Sudah beberapa kali ketika menyapu lantai, pelajar yang lalu berhampiran akan mencampakkan pembalut gula-gula atau tisu ke lantai, isyarat untuk pekerja pembersihan menyapu sampah tersebut.

Gambar sekadar hiasan

Ada pelajar yang ketika hendak lalu di koridor yang sedang beliau bekerja, beliau akan berhenti menyapu untuk memberi laluan. Sebaik melepasi beliau, pelajar tersebut berpaling dan meludah ke lantai, dekat dengan penyapu beliau. Pada awalnya beliau ada menegur, namun lama-kelamaan dibiarkan saja. “Masing-masing dah besar dik”, jawab dia ringkas. Bermakna perkara ini bukan baru terjadi. Iya, ini dilakukan oleh pelajar universiti.

Sambung beliau, dua bulan lepas ada kakak yang juga kontraktor pembersihan berhenti bekerja. Kesnya ketika dia sedang menyapu lantai di blok asrama, ada pelajar perempuan meludah dekat dengan dia. Ditegur penuh hemah. Kesannya dia dimaki oleh pelajar tersebut. Iya, pelajar universiti. Perempuan.

Katanya lagi, makian dan cercaan tu sudah biasa. Ada pelajar yang simpan sampah dalam rumah (kolej kediaman seperti apartmen), selepas dua tiga hari baru dikeluarkan. Akibatnya sampah sudah membusuk dan berair. Mereka, pekerja pembersihan yang disalahkan.

Ramai pelajar yang membuang lebihan lauk atau ais ke dalam tong sampah, bukan ke dalam sinki. Bila ais mencair, bercampur dengan lauk dan sisa makanan lain, bau busuk memenuhi blok. Jika ada yang tumpah ke lantai, esok mereka akan dipanggil oleh penyelia asrama, diberi amaran atas aduan pelajar, pekerja pembersihan tak pandai buat kerja.

Saya bertanya pada beliau, siapa pelajar ini?

“Sama je semua dik, Melayu, Cina, India. Baik jahat ni tak tengok bangsa dengan agama, dia atas diri sendiri”. Ringkas jawapan beliau.

“Nak kerja macam ni hati kena kental dik. Kami bukan nak pujian pun, cukup lah kalau orang buat macam kami ni wujud”. Beliau sambung bekerja. Saya diam, termenung. Seakan tidak percaya.

Gambar sekadar hiasan

Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, tambahan pula di universiti, institusi pengajian tertinggi dalam negara, tempat para ilmuan dan para sarjana menuntut ilmu. Bagaimana mungkin orang berilmu berperilaku sedemikian? Apa makna pada sijil diploma dan sarjana jika tiada keluhuran budi pekerti dan adab?

Akan datang, pelajar universiti ini akan bercampur dengan masyarakat, jadi cikgu, ketua masyarakat, akan jadi ketua-ketua jabatan, pegawai di pelbagai agensi, bekerja di kementerian, bahkan mungkin ada yang akan jadi menteri. Bagaimana nasib generasi akan datang jika negara ditadbir mereka yang tiada adab?

Kita tidak maju bukan kerana salah parti politik atau para politikus. Tapi kita tidak maju kerana masyarakat masih mempunyai pemikiran yang mundur, jiwanya tidak merdeka, akalnya sempit. Tiada makna segala kemajuan infrastruktur dan ekonomi yang kukuh jika kita masih hidup berkasta.

Sumber : Mohamad Reeza

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.