Siakap Keli
Gambar : Facebook

Empat Sekeluarga Maut Kemalangan Tiga Kenderaan

Kuantan : Empat sekeluarga termasuk sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 51, Jalan Temerloh-Kemasul, dekat Bukit Mendi, Bera hari ini.

Ketua Polis Daerah Bera DSP Mansor Samsudin berkata pada kejadian 1.35 tengah hari itu, semua mangsa yang dalam perjalanan menuju ke Temerloh dengan menaiki kereta Perodua Viva, maut di tempat kejadian.

Mereka ialah Nor Amri Mohd Ali, 35, isterinya Siti Rahmah Abidin, 33, kakaknya Siti Zubaidah Abidin, 40, dan anaknya Aqil Ziqri Shah Kamaruzaman, 6, yang semuanya parah di kepala.

Turut parah ialah adik ipar kepada Siti Rahmah dan Siti Zubaidah, Nor Shuhada Shukri, 29, yang mengalami pendarahan di kepala dan sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.

“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu kereta mangsa dan dua buah lori termasuk sebuah treler tanpa muatan. 

“Siasatan awal mempercayai kemalangan berpunca apabila treler yang dalam perjalanan dari Temerloh menghala Kemasul terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah lori dan kereta mangsa sehingga terseret ke bahu jalan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mansor berkata pemandu treler yang berusia 39 tahun dan berasal dari Triang, Bera juga dikejarkan ke HOSHAS kerana parah di kepala manakala pemandu sebuah lagi lori berusia  54 tahun, tidak cedera.

Katanya, jenazah mangsa dihantar ke HOSHAS untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Mohd Sani Harul berkata sebuah jentera bomba dengan seorang pegawai dan  lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa kereta yang tersepit.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.