Siakap Keli
Gambar Hiasan

Lelaki Filipina Dalang Sindiket ‘Abang Botak’ Jual Mykad Palsu Ditahan

KANGAR – Seorang lelaki Filipina yang disyaki mendalangi sindiket ‘Abang Botak’ yang menjual kad pengenalan Malaysia (MyKad) palsu kepada rakyat asing, ditahan dalam operasi di sebuah premis di Manjung Perak, pada Sabtu.

Turut ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Perlis pada pukul 2 pagi itu ialah sembilan rakyat asing berusia antara dua dan 57 tahun, termasuk sepasang suami isteri dan dua anak mereka yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun.

Operasi itu dibuat dipercayai susulan daripada penahanan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Abang Botak’ bersama lapan lelaki rakyat asing, dalam serbuan di Bukit Keteri, Padang Besar. Jumaat lepas.

Pengarah Imigresen Perlis Basri Othman pada sidang akhbar hari ini berkata dengan penahanan lelaki Filipina yang dikenali sebagai ‘Abang Jalak’ berusia 55 tahun itu, pihaknya percaya berjaya melumpuhkan sindiket yang menguruskan kemasukan rakyat asing secara haram ke Sabah, untuk dibawa ke Semenanjung Malaysia.

“Kami turut merampas dua MyKad tulen, satu MyKad palsu, dua sijil nikah palsu dan beberapa kad lain daripada ‘Abang Jalak’ dan rakyat asing itu,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket terbabit akan menyeludup masuk rakyat Filipina ke Sabah melalui laut, dan setelah memperoleh MyKad barulah mereka dibawa memasuki semenanjung Malaysia dengan kapal terbang.

Beliau berkata sindiket itu menjual MyKad palsu kepada rakyat asing pada harga RM500 hingga RM1,000 satu.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.