Siakap Keli
Gambar Hiasan

Tergamak Menikam Guru, Pelajar Sekolah Direman Lima Hari

Hari ini media sosial dihangatkan dengan berita seorang guru kaunseling yang ditikam oleh muridnya dengan pisau dibahagian bahu. Lantaran itu, pelbagai spekulasi dan persepsi muncul untuk meneka motif sebenar kejadian terbabit.

Terbaru, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata suspek yang berusia 17 tahun itu direman bagi membantu siasatan selepas mendapat perintah daripada Mahkamah Telok Datok, Banting.

“Siasatan awal mendapati dendam menjadi punca utama pelajar itu menikam bahu guru kaunselingnya sebanyak tiga kali menggunakan pisau.

“Suspek merupakan pelajar baharu di sekolah itu menerusi kemasukan ke tingkatan empat baru-baru ini. Kemungkinan dia berdendam kerana guru tersebut menetapkan peraturan ketat di sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata guru tersebut yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Banting, telah dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 8.20 malam itu, guru kaunseling itu cedera ditikam pelajar tersebut kerana marah bakal dikenakan tindakan buang sekolah atas kesalahan disiplin.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.