Siakap Keli
Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Ribut Serta Angin Kencang Di Alor Setar Jejaskan Enam Rumah Dan Bangunan Sekolah

Pagi tadi, beberapa buah video yang memaparkan kejadian ribut di Alor Setar Kedah mula ‘berlegar-legar’ di laman media sosial. Rakaman yang berdurasi 32 saat itu menunjukkan keadaan hujan lebat dan angin kencang sehingga menerbangkan papan tanda jalan.

Berikutan kejadian itu, enam buah rumah dan sebuah sekolah kebangsaan di beberapa kampung di daerah ini telah mengalami kerosakan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten Mohd Zain Bahrum berkata antara kampung terlibat ialah Kampung Sala Kechil dan Kampung Permatang Bongor di Mukim Sala Kechil, Kampung Sungai Bar, Kampung Alor Pial dan Kampung Permatang Gunung di Mukim Gunong dan Kampung Kota Rentang di Mukim Titi Gajah.

Beliau berkata kesemua rumah dan sekolah terbabit mengalami kerosakan di bahagian bumbung yang diterbangkan angin kuat.

Gambar : Jalan-Jalan Cari Makan Di Kedah

“Pihak kami menerima 14 panggilan kecemasan bermula pukul 8.30 pagi berhubung kejadian ribut itu yang turut menyebabkan pokok tumbang.

“Tujuh kejadian berkaitan pokok tumbang dilaporkan iaitu dua kes di Hutan Kampung, satu kes di Mergong, dua kes di Anak Bukit, satu kes di Gunong dan satu kes di Bukit Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya sekolah yang terjejas itu iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Pantai di Kuala Kedah mengalami kerosakan di dua buah kelas dan kesemua pelajar kedua-dua kelas terbabit dibenarkan pulang awal.

Ribut itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan tiada mangsa yang dipindahkan.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.