Siakap Keli
Gambar : Bernama

Lelaki Rompak Dan Cederakan Wanita Di Stesen MRT, Diperjara 18 Tahun, Lima Sebatan

Sekitar Februari lalu, tular di media sosial mengenai sebauh video yang memaparkan seorang lelaki yang bertindak ganas merompak dan mencederakan seorang wanita di dalam lif. Insiden terbabit dikatakan telah berlaku di sebuah stesen MRT.

Terbaru, Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas G.Thinathayaalan, 26,  selepas tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan merompak setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak. Mahkamah memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah dalam kes ini,” katanya selepas tertuduh selesai memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang bekerja sebagai pembaiki penghawa dingin menjalani hukuman penjara itu bermula dari  tarikh tangkap pada 18 Feb lepas.

Tertuduh  didakwa telah melakukan rompak dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengurus bank Lee Meei Shan ,48, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, dua kad ATM bank, dua kad kredit bank dan wang tunai RM400 di dalam lif Stesen MRT, Taman Mutiara, Cheras di sini pada 6.45 pagi, 14 Feb lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran  mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.

“Dalam kes ini, tertuduh mencederakan mangsa sehingga mengalami kesan lebam di kepala, muka dan badan mangsa, serta mengalami trauma kesan daripada kes ini, Perbuatan ini sangat tidak berperikemanusian dan kes ini juga telah menjadi tular di media sosial serta mendapat perhatian media massa,” katanya.

Bagaimanapun, Thinathayaalan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Sepanjang perbicaraan bermula 29 April lepas sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan.

Pada 14 Feb lepas, dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi, berdasarkan satu rakaman video berdurasi 55 saat, pengurus bank berusia 48 tahun itu dilihat diserang seorang lelaki ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara.

Belum sempat pintu lif ditutup, suspek dilihat terus menyerang mangsa dengan menumbuknya di muka menyebabkan wanita itu jatuh.

Sumber : Bernama

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.