Siakap Keli
Foto: Philipine News/VOV

Anak Dibungkus Dalam Plastik Redah Banjir Ke Sekolah, Mak Hanya Mampu Berdoa Di Tepi Tebing

Tiada ibu bapa yang tidak mahu melihat anak-anak mereka berjaya dalam hidup. Mereka sanggup melakukan apa sahaja, menahan lapar, mengerah keringat hanya untuk memberi yang terbaik bagi anak-anak tersayang.

Walaupun tidak sepenuhnya bergantung kepada pendidikan, ia adalah salah satu faktor penting dalam membantu seseorang untuk memperoleh kejayaan dalam hidup mereka.

Maka tidak hairanlah ada ibu bapa yang bersusah-payah semata-mata untuk memastikan anak-anak memperoleh pendidikan. Namun, apa yang terjadi di Vietnam ini berada dalam satu tahap yang lain.

Menurut laporan sebuah akhbar di sana, ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah dengan memasukkan mereka dalam plastik nylon untuk demi melintasi sebatang sungai selebar 20 meter.

Foto: Philipine News

Kejadian itu adalah perkara yang biasa berlaku di perkampungan Huoi Ha apabila tiba sahaja musim hujan. Pada musim panas, ada sebatang jambatan yang dibina untuk memudahkan orang ramai melintasi sungai berkenaan.

Akan tetapi, pada musim hujan, paras air sungai akan mula meningkat dan air sungai akan mula mengalir lebih deras. Ia menyebabkan jambatan tidak mampu bertahan dan rakit juga tidak boleh digunakan.

Foto: Philipine News

Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa mengupah seorang lelaki bagi membantu anak-anak mereka untuk menyeberangi sungai itu untuk ke sekolah. Mereka menunggu dengan penuh rasa risau di tebing sungai sementara anak mereka menyeberangi sungai itu dengan diletakkan di dalam plastik.

Musim hujan di sana sering berlaku di antara bulan Jun hingga Oktober setiap tahun. Tidak cukup dengan itu, kanak-kanak tersebut juga terpaksa berjalan kaki sejauh 15 km selepas berjaya menyeberangi sungai berkenaan.

Melihat kepada apa yang dilalui oleh mereka, maka kita seharusnya bersyukur dipermudahkan dalam usaha kita untuk menuntut ilmu pengetahuan di negara ini.

Sumber: Zing, Philipine News

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi