Siakap Keli

Suami Bernazar Beri Hadiah Telefon Bimbit Tapi Isteri Minta Tukar Emas, Bolehke Nazar Di Ubah? – Mufti

Nazar merupakan janji manusia kepada Allah SWT kerana menghargai nikmat yang diterima atau mendapat hajat yang dicitakan. Walau dalam keadaan apa sekalipun, janji ini wajib ditunaikan kerana ianya dianggap sebagai ibadah.

Namun begitu, sekiranya telah bernazar, bolehkah seseorang itu menukar nazarnya kepada bentuk yang lain?

Saya pernah bernazar dan memberitahu kepada isteri saya mengenai nazar saya iaitu “jika isteri saya hamil dan melahirkan zuriat kami, saya bernazar untuk menghadiahkan sebuah telefon bimbit jenama iPhone”

Sekarang isteri saya telah hamil dan bakal melahirkan anak, beliau beritahu kepada saya dia tidak mahu telefon bimbit baru kerana yang lama masih elok, namun dia minta supaya duit untuk beli telefon bimbit tersebut diganti untuk beli gelang emas baru kepadanya…

Berikutan pertanyaan tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan telah tampil memberikan jawapan yang boleh dijadikan rujukan bagi semua orang. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua orang.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Nazar bermaksud mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah SWT) yang tidak tentukan olehnya secara asal dalam Syariat, sama ada secara mutlak atau secara ta`liq.

Allah berfirman:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu”.

(Surah al-Hajj: 29)

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.”

Riwayat Bukhari (6696)

Untuk menjadikan nazar itu wajib dilaksanakan perlu cukup rukun-rukun nazar.

  • Sighah; Hendaklah disebut dengan perkataan dan
  • Orang yang bernazar
  • Perkara yang dinazarkan.

Berdasarkan fakta yang diberikan, suami telah melafazkan bahawa “jika isteri saya hamil dan melahirkan zuriat kami, saya bernazar untuk menghadiahkan sebuah telefon bimbit jenama iPhone”, maka lafaz ini dikategorikan sebagai nazar al-mujazah, yang bererti mewajibkan diri untuk melakukan qurbah sebagai balasan memperolehi nikmat atau tertolaknya bala. Contohnya, seseorang berkata, “Kalau Allah sembuhkan penyakitku, maka demi Allah aku akan berpuasa.” Ianya juga telah mencukup syarat bagi sighah iaitu disebut dalam bentuk perkataan, bukan sekadar niat, dan dengan lafaz yang membawa maksud (iltizam) mewajibkan diri. 

Untuk rukun kedua, orang yang bernazar yakni suami. Manakala rukun ketiga, termeterai dengan tujuan hadiah iaitu kerana memberikan hadiah terutama kepada keluarga adalah berpahala, justeru dimasukkan dalam kategori qurbah.

Justeru, wajib bagi suami untuk memberikan hadiah telefon dengan jenama berkenaan kepada isterinya apabila isterinya hamil dan bersalin setelah cukup rukun-rukun nazar. Isteri juga tidak ada kuasa untuk menukarkan nazar tersebut kepada benda lain. Hendaklah diberikan berdasarkan perkara yang ditetapkan. Tiada juga kaffarah yamin (sumpah( bagi nazar al-mujazah dan mutlak kerana maksud kaffarah yamin sudah tiada dalam jenis-jenis ini.

Perlu diperhatikan jua, bahawa lafaz tidak menyebut kepada siapa hadiah hendak diberikan. Justeru jika dihadiahkan kepada orang lain, memadai. Begitu juga daripada sudut baru atau terpakai, kedua-dua juga adalah memadai. Jika telefon berkenaan ada pelbagai jenis, boleh dipilih selagi jenama yang sama.  Jika tidak mampu buat masa sekarang, boleh ditangguh kepada waktu mendatang. Jika isteri tidak menyukai hadiah tersebut, isteri boleh menjualnya dan duit jualan boleh membeli gelang emas.

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/501-520, 1/176)

Oleh kerana itu, sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum makruh memulakan nazar sekalipun wajib melaksanakan dan berpahala tetapi lebih baik bagi seorang insan melakukan qurbah terus tanpa diikat dengan nazar dan jika seorang itu bergantung kepada nazar, itu petunjuk kepada kebakhilan diri sendiri. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ النَّذْرَ لاَ يُقَدِّمُ شَيْئًا وَلاَ يُؤَخِّرُ، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِالنَّذْرِ مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya nazar itu tida mendahulukan suatu ataupun mengakhirkannya, ia hanya dibuat oleh orang yang bakhil sahaja.”

Hadis riwayat al-Bukhari (6692)

Wallahua’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa