Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Koperasi Tentera Umum Dividen 10 Peratus Kepada Ahli

Sungai Buloh : Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) hari ini mengumumkan pulangan dividen sebanyak 10 peratus yang melibatkan pembayaran berjumlah RM145 juta kepada 154,620 ahlinya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata pembayaran dividen itu diperoleh berdasarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM184.33 juta hasil daripada pendapatan bersih operasi berjumlah RM313.5 juta bagi tahun kewangan 2018.

Beliau berkata Koperasi Tentera mempunyai rekod cemerlang dan konsisten termasuklah untuk tahun 2018 yang mempunyai prestasi kewangan koperasi kekal positif.

”Koperasi Tentera juga mengumumkan jumlah keuntungan sebanyak RM13.6 juta ke atas simpanan anggota bagi tahun 2018,” katanya  kepada sumber selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera ke-54 di Dewan PERHEBAT, Kem Sungai Buloh, di sini.

Mohamad berkata walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan, Koperasi Tentera terbukti masih mampu memberikan pulangan yang tinggi secara konsisten.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Koperasi Tentera, Mej Jen (B) Datuk Zulkiflee Mazlan, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang.

Pada majlis itu, turut diperkenalkan Perkhidmatan Dalam Talian dan Aplikasi Perbankan Mudah Alih (KTOnline) yang dibangunkan dengan objektif memberi kemudahan kepada anggota yang berada jauh daripada cawangan atau bandar di samping menyediakan pengalaman lebih baik kepada semua anggotanya.

Pengenalan itu menjadikan Koperasi Tentera antara koperasi terawal memperkenalkan perkhidmatan tersebut seiring dengan pelan mengoptimumkan penggunaan teknologi digital dalam penyediaan perkhidmatan serta produk buat anggota dan pelanggannya.

Pada majlis itu juga Zulkiflee menyampaikan zakat perniagaan Koperasi Tentera berjumlah RM450,000 kepada Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di