Siakap Keli
Gambar: Bernama

Dulu Sangat Aktif, Kini Pelajar Ini Disahkan Menghidap Myokymia Dipercayai Kesan Terhidu Gas Beracun

Isu pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang, Johor bukanlah sesuatu yang baru didengar. Sejak dari Mac lalu, tragedi duka ini telah menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan beratus buah sekolah di Pasir Gudang diarah tutup berikutan peristiwa  di Sungai Kim Kim berkenaan.

Ternyata, itu bukan kejadian yang terakhir apabila dua minggu lalu, ianya berulang kembali saat beberapa orang pelajar Sekolah Agama Taman Mawar mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas dipercayai akibat pencemaran udara. Dan ia berterusan sehingga hari ini tatkala seramai 38 pelajar di daerah ini mengalami simptom yang sama.

Namun dalam tidak sedar, sebenarnya ada kisah pilu seorang pelajar di sana yang mungkin masih ramai tidak tahu.

Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, sebelum ini sangat aktif berlari, berenang dan bebas melakukan apa sahaja bagi menikmati zaman kanak-kanaknya.

Kini, setiap pergerakannya terbatas setelah disahkan menghidap Myokymia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar.

Irfan, anak keempat daripada lima beradik diduga dengan penyakit seakan-akan Parkinson dipercayai setelah terdedah dengan pencemaran toksik Sungai Kim-Kim, Mac lalu.

Ibunya, Norlela Abu Hashim ,45, berkata Irfan dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) setelah sukar untuk bernafas disyaki akibat terhidu gas beracun semasa sesi persekolahannya.

Tidak seperti rakan-rakan lain, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang itu dimasukkan ke hospital lebih lama iaitu 10 hari berikutan keadaan kesihatan yang merosot setiap hari.

Pakar HSI jelasnya telah melakukan pelbagai prosedur termasuk pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi mengenalpasti punca kakinya menggeletar.

“Pada malam kedua dia hospital kaki dia mula menggeletar. Sewaktu dia tidur, jantungnya berdegup kencang. Doktor tepuk pipi Irfan banyak kali tapi dia seolah-olah tidur yang sangat lena. Kumpulan doktor yang berada di sekeliling katil membuat keputusan untuk memanggil pakar Neurologi”

“Doktor pakar Neurologi suruh dia berjalan, dia tak boleh berjalan. Saya kena pimpin dia. Ada satu ketika sewaktu saya bawa ke tandas, saya terlupa yang dia tidak lagi boleh berjalan dengan normal, dia jatuh dalam tandas,” kata Norlela kepada Bernama News Channel ketika dihubungi hari ini.

Irfan Wafiy Idham Wazir

Suri rumah itu berkata, pakar di HSI kemudiannya merujuk kes Irfan ke Hospital Kuala Lumpur dan hasil pemeriksaan mendapati Irfan positif Myokymia susulan terhidu gas beracun yang mengakibatkan kegagalan fungsi paru-parunya.

Disebabkan terpaksa berulang-alik dari rumah ke hospital, bapa Irfan, Idham Wazir, 49, terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak lelaki kesayangannya itu.

Menurut Norlela, Irfan bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September ini dan disebabkan kecuaian pihak tidak bertanggungjawab, masa depan anaknya kini seolah-olah samar.

“Semua permainan, alatan sukan saya simpan. Ada kalanya Irfan akan menumbuk-numbuk betisnya dengan harapan kakinya tidak lagi bergetar. Sebagai ibu yang dah membesarkan dia sejak lahir, saya sedih dengan apa yang terjadi,” katanya

Norlela berkata, sejak anaknya menerima rawatan di HSI mahupun di HKL, tiada mana-mana pihak yang tampil memberi bantuan.

Kunjungan mereka hanya sekadar melawat kemudian tiada tindakan susulan yang diberikan.

Menurut Norlela, disebabkan tiada pembelaan daripada mana-mana pihak, suaminya menghadiri sesi perjumpaan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin bersama pengusaha kilang di Pasir Gudang baru-baru ini.

Menerusi video yang tersebar di media sosial, Idham menyuarakan kekesalannya kepada pengusaha kilang dan minta agar mereka bertanggungjawab dengan kejadian yang menimpa bukan sahaja kepada Irfan malahan kepada semua mangsa.

Pada 7 Mac lepas, seramai 103 orang pelajar dan penduduk sekitar Sungai Kim Kim jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital akibat terhidu gas beracun.

Selepas penyiasatan awal dibuat, pihak berkuasa mengenalpasti puncanya daripada bahan kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim.

Pada 11 Mac 2019, gelombang kedua tindak balas gas beracun daripada bahan kimia di Sungai Kim Kim bermula.

Seramai 106 mangsa baharu dimasukkan ke hospital dengan jumlah mangsa mencecah 1,000 orang dan lapan daripadanya dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Gas kimia dari sungai itu didapati boleh menyerap ke dalam badan manusia melalui saluran pernafasan dan juga kulit.

Beberapa gas beracun hasil reaksi air dan udara bersama bahan kimia tersebut iaitu gas acrylonitrile, xylene, metana dan toluene yang boleh menyebabkan sakit kepala, loya, pengsan dan kesukaran bernafas.

Sumber: Bernama

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.