Siakap Keli
Gambar: Keluarga.my

Waspada Para Suri Rumah, Campur Cecair Peluntur Dengan Cecair Pencuci Lantai Boleh Hasilkan Racun Merbahaya

Sedar akan kebersihan rumah itu sangat penting, kebanyakan orang pastinya menginginkan setiap sudut di dalam rumah berada dalam keadaan yang bersih, kemas dan cantik. Oleh yang demikian, pelbagai usaha dilakukan seperti menyapu sawang, mengemop lantai dan juga menyental dinding yang kotor dan berkeladak.

Namun begitu, harus disedari bahawa sesetengah bahan pencuci yang digunakan boleh menyebabkan keracunan kepada seseorang sehingga boleh menjejaskan pernafasan dan juga kesihatan.

Pusat Racun Negara melalui laman Facebook milik mereka, berkongsi kes surirumah yang mengalami keracunan akibat mencampurkan cecair peluntur yang mengandungi Sodium Hipoklorit dengan cecair lantai yang mengandungi Asid Hidroklorik.

Gabungan antara kedua-dua bahan ini dikatakan bahaya kerana mempunyai unsur asas klorin. Apabila dicampur, tindakbalas kimia antara bahan ini akan membebaskan gas klorin yang beracun.

Gas ini dikenali dengan warna kuning kehijauan yang boleh menyebabkan beberapa simptom. Antaranya ialah batuk, sesak nafas, sakit dada, pedih pada tekak, loya, muntah-muntah, pening, sakit kepala dan pelbagai lagi simpton yang lebih teruk jika terdedah pada jangka masa yang lama.

Oleh itu, orang ramai terutamanya surirumah dinasihatkan supaya lebih berwaspada menggunakan cecair peluntur mahupun bahan pencuci lain bagi tujuan mencuci lantai ataupun dinding rumah.

Sumber: Pusat Racun Negara

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa