Pernah tak rasa pelik apabila lantai rumah sudah dimop berkali-kali tetapi tapak kaki masih terasa sedikit melekit apabila berjalan di atasnya? Lebih menghairankan, lantai mungkin nampak bersih, berkilat dan tidak lagi mempunyai kesan kotoran yang jelas.
Namun, apabila dipijak tanpa alas kaki, permukaannya terasa seperti ada lapisan nipis yang melekat pada tapak kaki. Keadaan ini sebenarnya boleh berlaku atas beberapa sebab.
Ia tidak semestinya bermaksud lantai rumah masih kotor. Sebaliknya cara mencuci, jenis pencuci yang digunakan dan keadaan permukaan lantai juga boleh mempengaruhi hasil selepas kerja-kerja mengemop.
Dalam artikel kali ini, mari kita lihat beberapa punca lantai rumah masih melekit walaupun selepas mop serta perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasinya.
1. Guna pencuci lantai terlalu banyak
Salah satu kesilapan yang sering dilakukan ketika mengemop ialah menggunakan pencuci lantai dalam kuantiti yang terlalu banyak kerana menganggap lebih banyak sabun bermaksud lantai akan menjadi lebih bersih.
Sebenarnya, sesetengah produk pencuci boleh meninggalkan sisa pada permukaan lantai jika digunakan melebihi sukatan yang disarankan. Apabila air mengering, sisa tersebut boleh membentuk lapisan nipis yang menyebabkan lantai terasa melekit atau licin apabila dipijak.
Sebab itu, tidak perlu mencurahkan pencuci lantai sehingga air mop berbuih banyak. Ikut sukatan pada label produk dan gunakan jumlah yang bersesuaian dengan keluasan lantai serta tahap kotoran.
2. Air mop terlalu kotor
Kalau air dalam baldi sudah berubah warna, kelihatan keruh atau terdapat banyak kotoran terapung, itu petanda ia mungkin sudah sampai masa untuk ditukar.
Air mop yang terlalu kotor tidak lagi membantu membersihkan lantai dengan baik. Sebaliknya, kotoran yang sudah terkumpul dalam air boleh tersebar semula ke permukaan lantai ketika mop digunakan.
Situasi ini lebih mudah berlaku apabila satu baldi air digunakan untuk mengemop seluruh rumah tanpa menukarnya. Kawasan seperti dapur dan ruang makan pula biasanya mempunyai lebih banyak minyak, habuk serta sisa makanan berbanding ruang lain.
3. Mop tidak dibilas dengan sempurna
Mop juga perlu diberikan perhatian kerana ia bersentuhan terus dengan lantai. Jika kain atau kepala mop masih mempunyai sisa sabun, minyak dan kotoran daripada penggunaan sebelumnya, kotoran tersebut boleh dipindahkan kembali ke lantai.
Keadaan ini lebih ketara jika mop yang digunakan tidak pernah dicuci dengan sempurna selepas kerja mengemop selesai.
Selepas digunakan, bilas mop sehingga air yang keluar kelihatan lebih bersih dan perah dengan baik sebelum disimpan. Mop yang bersih bukan sahaja membantu menghasilkan lantai yang lebih bersih malah dapat mengurangkan kemungkinan permukaan terasa melekit selepas dikeringkan.
4. Ada sisa minyak pada lantai
Untuk kawasan dapur, puncanya mungkin lebih mudah dikenal pasti. Percikan minyak daripada aktiviti memasak boleh menghasilkan lapisan nipis pada lantai yang tidak semestinya kelihatan dengan jelas.
Jika hanya menggunakan air dan pencuci lantai biasa, sisa minyak mungkin tidak tertanggal sepenuhnya. Akhirnya, lantai nampak bersih selepas dimop tetapi masih terasa melekit apabila dipijak.
Untuk kawasan yang berminyak, bersihkan tumpahan atau percikan terlebih dahulu sebelum mengemop seluruh kawasan. Jangan tunggu sehingga minyak bercampur dengan habuk dan membentuk lapisan kotoran yang lebih sukar ditanggalkan.
5. Pencuci lantai tidak sesuai dengan permukaan
Tidak semua jenis lantai boleh dibersihkan menggunakan cara yang sama. Jubin, lantai vinyl, laminate dan beberapa jenis permukaan lain mempunyai keperluan penjagaan yang berbeza.
Ada produk pencuci yang mungkin meninggalkan residu tertentu pada sesetengah permukaan jika digunakan terlalu kerap atau dalam kepekatan yang tinggi. Sebab itu penting untuk membaca arahan penggunaan produk sebelum mencurahkannya terus ke dalam baldi.
Jika baru sahaja menukar produk pencuci dan mendapati lantai mula terasa melekit, cuba perhatikan sama ada masalah tersebut bermula selepas penggunaan produk berkenaan.
6. Lantai tidak dibilas selepas menggunakan pencuci
Bagi sesetengah keadaan, lantai mungkin memerlukan satu lagi pusingan menggunakan air bersih terutama jika terdapat sisa pencuci yang banyak atau kawasan tersebut mempunyai kotoran degil.
Selepas menggunakan larutan pencuci, mop semula dengan air bersih untuk membantu mengangkat baki sisa yang tertinggal pada permukaan. Langkah ini mungkin mengambil sedikit masa tambahan tetapi boleh membantu terutama apabila lantai terasa licin atau melekit selepas proses mengemop.
Namun, keperluan membilas semula bergantung kepada jenis produk dan permukaan lantai. Jadi, arahan pada label pencuci tetap perlu dijadikan panduan utama.
7. Lantai terlalu lembap
Satu lagi perkara yang ramai mungkin tidak perasan ialah jumlah air yang digunakan ketika mengemop.
Jika mop terlalu basah, terlalu banyak air akan tertinggal di atas lantai. Air tersebut mungkin mengambil masa yang lama untuk kering terutama dalam ruang yang kurang pengudaraan.
Apabila kelembapan bercampur dengan sisa pencuci atau kotoran halus yang masih ada pada permukaan, lantai boleh terasa pelik apabila dipijak. Sebaiknya, perah mop dengan baik supaya permukaan lantai tidak terlalu basah selepas proses mengemop.
Membuka tingkap atau pintu untuk meningkatkan pengudaraan juga boleh membantu lantai kering dengan lebih cepat.
Cara mop supaya lantai tidak melekit
Jika masalah ini kerap berlaku, cuba perbaiki cara mengemop terlebih dahulu. Gunakan pencuci lantai mengikut sukatan yang disarankan dan elakkan penggunaan sabun secara berlebihan kerana sisa pencuci boleh menyebabkan permukaan lantai terasa melekit selepas kering.
Pastikan air mop ditukar apabila sudah terlalu keruh dan bilas mop dengan kerap supaya kotoran tidak tersebar semula. Mop juga perlu diperah dengan baik supaya lantai tidak terlalu basah terutama di kawasan yang kurang pengudaraan.
Untuk kawasan dapur, bersihkan dahulu kesan minyak atau makanan yang melekat sebelum mengemop. Jika masih terdapat sisa pencuci selepas lantai kering, mop semula menggunakan air bersih. Pada masa yang sama, pastikan produk yang digunakan sesuai dengan jenis lantai di ruma
Jadi, kalau lantai rumah masih melekit lepas mop, jangan terus anggap lantai tersebut tidak cukup bersih. Dalam banyak keadaan, masalah itu mungkin berpunca daripada penggunaan pencuci yang terlalu banyak, air mop yang sudah kotor, mop yang tidak dibilas dengan baik atau sisa minyak yang masih melekat pada permukaan.
Kerja mengemop sebenarnya bukan sekadar mencurahkan pencuci ke dalam baldi dan mengelap lantai. Jumlah air, sukatan pencuci, kebersihan mop dan cara mengeringkan lantai semuanya memainkan peranan dalam mendapatkan permukaan yang benar-benar bersih.
Kadang-kadang, kurang sabun dan lebih banyak cara yang betul boleh menghasilkan lantai yang jauh lebih bersih tanpa meninggalkan rasa melekit apabila dipijak.


