Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AS Sahkan Miliki Senjata Di Orbit Bumi, Cetus Kebimbangan Perlumbaan Senjata Angkasa Lepas

as miliki senjata
Kredit: The Guardian

Amerika Syarikat (AS) mengesahkan buat pertama kali bahawa negara itu sudah mengerahkan senjata di orbit Bumi, lalu mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan tercetusnya perlumbaan senjata angkasa lepas melibatkan kuasa besar dunia, lapor The Guardian.

Iklan

Pengesahan itu dibuat Setiausaha Tentera Udara AS, Troy Meink, yang mendedahkan Washington kini mempunyai sistem senjata kawalan angkasa lepas yang aktif di orbit.

Menurut Meink, keupayaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha negara itu untuk memastikan tenteranya sentiasa bersedia menghadapi ancaman keselamatan yang semakin berkembang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada persidangan tahunan Udara, Angkasa dan Siber pada Isnin.

Bagaimanapun, Meink enggan mendedahkan secara terperinci jenis senjata atau keupayaan yang sudah ditempatkan di angkasa lepas.

Jurucakap Tentera Angkasa Lepas AS pula menjelaskan bahawa kawalan angkasa lepas boleh melibatkan penggunaan kaedah kinetik dan bukan kinetik bagi mempengaruhi keupayaan pihak lawan.

Keupayaan itu juga boleh digunakan untuk tujuan serangan mahupun pertahanan.

AS Sahkan Miliki Senjata Di Angkasa Lepas, China Dan Rusia Beri Amaran

Pengumuman berkenaan segera mendapat perhatian China dan Rusia yang melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang boleh meningkatkan ketegangan di angkasa lepas.

Kementerian Luar China menyifatkan tindakan Washington sebagai persediaan untuk berperang di angkasa lepas, selain memberi amaran agar kawasan berkenaan tidak dijadikan medan pertempuran atau lokasi perlumbaan senjata.

Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata Rusia berpendirian bahawa angkasa lepas perlu bebas daripada sebarang senjata.

Beliau turut menggesa supaya usaha demiliterisasi angkasa lepas dilaksanakan sepenuhnya.

Pakar Bimbang Perlumbaan Senjata Semakin Memuncak

Bagaimanapun, pendedahan terbuka AS mengenai penempatan senjata di orbit buat pertama kali menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis keselamatan angkasa lepas.

Ahli astronomi, Jonathan McDowell, yang sudah beberapa dekad mengumpulkan rekod pelancaran roket, berkata tindakan Washington itu berkemungkinan mendorong Rusia dan China mengambil langkah sama.

Beliau berpendapat kedua-dua negara berkenaan mungkin akan membangunkan atau menggunakan sistem senjata yang setanding sebagai tindak balas terhadap perkembangan tersebut.

Menurutnya, penggunaan teknologi gangguan radio sekalipun sudah cukup untuk meningkatkan aktiviti ketenteraan di angkasa lepas.

Sementara itu, Ketua Pengarah Keselamatan dan Kestabilan Angkasa Lepas Yayasan Secure World, Victoria Samson, berkata pengakuan terbuka AS itu membawa implikasi besar kerana negara berkenaan sebelum ini tidak pernah mengumumkan perkara sedemikian secara terbuka.

Perjanjian Angkasa Lepas Tidak Halang Semua Jenis Senjata

Untuk rekod, usaha ketenteraan di angkasa lepas sudah bermula sejak era 1950-an apabila AS dan Kesatuan Soviet meneroka pelbagai kaedah untuk memusnahkan satelit.

Bagaimanapun, beberapa usaha antarabangsa kemudiannya dilaksanakan bagi memastikan angkasa lepas terus digunakan untuk tujuan aman.

Pada 1967, beberapa kuasa besar dunia bersama negara lain menandatangani Perjanjian Angkasa Lepas yang melarang penempatan senjata pemusnah besar-besaran di orbit.

Namun, perjanjian itu tidak mengandungi larangan menyeluruh terhadap penempatan senjata konvensional di orbit Bumi.

Ketegangan semakin meningkat pada abad ke-21 apabila angkasa lepas mula dilihat sebagai medan persaingan strategik antara kuasa besar.

Rusia, misalnya, mencetuskan kritikan antarabangsa pada 2021 selepas memusnahkan sebuah satelit miliknya yang sudah tidak berfungsi menggunakan peluru berpandu anti-satelit berasaskan darat.

Ujian berkenaan menghasilkan ribuan serpihan yang terapung di orbit dan berpotensi membahayakan satelit serta objek angkasa lain.

Keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan mengenai fenomena yang dikenali sebagai Sindrom Kessler, iaitu situasi apabila perlanggaran objek di orbit menghasilkan lebih banyak serpihan sehingga mencetuskan perlanggaran berantai.

Dengan satelit bergerak pada kelajuan ribuan kilometer sejam, serpihan kecil sekalipun mampu menyebabkan kerosakan serius terhadap objek lain di angkasa lepas.

Intipati
  • AS mengesahkan sistem senjata kawalan angkasa lepas aktif sudah ditempatkan di orbit Bumi.
  • China dan Rusia menyuarakan kebimbangan, sambil menggesa angkasa lepas tidak dijadikan medan pertempuran.
  • Pakar berkata pengakuan AS boleh mendorong Rusia dan China membangunkan keupayaan setanding.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan