Makkah bakal menganjurkan Makkah Marathon 2026 pada 17 Disember ini, menawarkan pengalaman sukan dan kebudayaan unik yang menggabungkan cabaran fizikal dengan penerokaan mercu tanda bersejarah serta keagamaan di kota suci itu.
Menariknya, acara ini bukan sekadar menguji kecergasan fizikal, malah menggabungkan aktiviti sukan dengan pengenalan terhadap warisan sejarah dan budaya Makkah.
Sepanjang laluan perlumbaan, peserta berpeluang mendengar kisah di sebalik beberapa mercu tanda yang dilalui, sekali gus menjadikan pengalaman larian lebih bermakna.
Dianjurkan oleh Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Makkah dan Tapak Suci, acara ini turut bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
Lebih istimewa, laluan perlumbaan bermula di Laluan Pejalan Kaki Muzdalifah, sebelum melalui beberapa lokasi terkenal termasuk Gunung Arafah dan Masjid Namirah.
Makkah Marathon 2026 Pada 18 Hingga 19 Disember Ini

Bagi memeriahkan acara, Marathon Village turut dibuka selama tiga hari bermula 17 Disember, dengan pelbagai program, aktiviti interaktif serta kemudahan untuk peserta dan pengunjung.
Pada 18 Disember, acara akan diteruskan dengan perlumbaan sejauh dua kilometer khas untuk kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun, dengan yuran penyertaan 30 Riyal Saudi (RM32).
Selain itu, perlumbaan khas untuk individu kelainan upaya fizikal turut diadakan pada hari sama, membabitkan jarak 200 meter secara percuma untuk peserta lelaki berusia empat tahun ke atas.
Kemudian, 19 Disember menjadi kemuncak acara apabila peserta lelaki boleh memilih tiga jarak perlumbaan mengikut kemampuan dan tahap kecergasan masing-masing.
Kategori lima kilometer terbuka kepada lelaki berusia 10 tahun ke atas dengan yuran 50 Riyal Saudi (RM54), manakala jarak 10 kilometer memerlukan peserta berusia sekurang-kurangnya 14 tahun dengan bayaran 75 Riyal Saudi (RM81).

Bagi mereka yang mahukan cabaran lebih besar, kategori separuh maraton sejauh 21 kilometer pula terbuka kepada lelaki berusia 16 tahun ke atas dengan yuran penyertaan 100 Riyal Saudi (RM107).
Ketiga-tiga kategori utama itu bermula dan berakhir di Laluan Pejalan Kaki Muzdalifah, dengan laluan berbeza mengikut jarak perlumbaan yang dipilih.
Lebih menarik, laluan 21 kilometer membawa peserta menuju ke Masjid Namirah, melalui Jalan Lingkaran Arafah sebelum berpatah balik menerusi kawasan Jabal Rahmah.
Bukan itu sahaja, penganjur turut menyediakan hadiah keseluruhan berjumlah 69,000 Riyal Saudi (RM74,396) untuk diagihkan kepada beberapa kategori termasuk peserta profesional, veteran dan kanak-kanak.
Menerusi penganjuran ini, Makkah bukan sahaja mahu memperkenalkan warisan sejarahnya kepada pengunjung, malah menggalakkan lebih ramai masyarakat menjadikan aktiviti fizikal sebahagian daripada kehidupan.
Orang ramai yang berminat boleh menyemak maklumat laluan, syarat penyertaan dan pendaftaran menerusi laman web rasmi Makkah Marathon.

