Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sebelum Jejak Kaki Ke Mekah, Jemaah Perlu Tahu Tentang 5 Miqat Ini

Azzwin
miqat

Sebelum Jejak Kaki Ke Mekah, Jemaah Perlu Tahu Tentang 5 Miqat Ini

Sebelum seseorang menunaikan ibadah haji atau umrah, antara perkara penting yang perlu difahami ialah miqat, iaitu tempat atau sempadan yang ditetapkan syarak untuk memulakan ihram dengan berniat haji atau umrah.

Bagi jemaah yang datang dari pelbagai arah ke Tanah Suci, Rasulullah SAW telah menetapkan beberapa lokasi miqat yang berbeza mengikut laluan perjalanan mereka.

Ramai jemaah Malaysia mungkin lebih mengenali Qarnul Manazil kerana nama ini sering disebut ketika penerbangan menghampiri Arab Saudi, namun sebenarnya terdapat beberapa lagi miqat yang digunakan oleh umat Islam dari seluruh dunia.

Apa itu miqat?

Miqat adalah sempadan atau tempat yang ditetapkan oleh syarak untuk memulakan ibadah haji atau umrah, iaitu lokasi seseorang perlu berniat ihram sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah.

Perkataan miqat berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud had atau batas yang ditentukan.

Dalam ibadah haji dan umrah, miqat terbahagi kepada dua kategori iaitu:

1. Miqat Zamani (Masa)

Miqat Zamani merujuk kepada waktu yang ditetapkan untuk mengerjakan haji.

Haji hanya boleh dilaksanakan pada bulan-bulan haji iaitu Syawal, Zulkaedah dan hari-hari tertentu dalam Zulhijah.

2. Miqat Makani (Tempat)

Manakala Miqat Makani pula merujuk kepada lokasi tertentu yang ditetapkan untuk berniat ihram sebelum memasuki Mekah.

Apabila seseorang melalui kawasan miqat dan berniat untuk mengerjakan haji atau umrah, dia wajib berniat ihram sebelum melepasi sempadan tersebut.

Lima miqat makani yang utama

Untuk pengetahuan pembaca semua, terdapat lima miqat makani utama yang telah ditetapkan bagi mereka yang ingin memasuki Mekah untuk menunaikan ibadah haji atau umrah iaitu:

1. Zulhulaifah (Bir Ali)

Bir Ali
  • Miqat bagi penduduk dan jemaah yang datang dari Madinah.

  • Terletak kira-kira 450 kilometer dari Mekah.

  • Merupakan miqat yang paling jauh dari Mekah antara semua miqat yang ditetapkan.

  • Seperti yang diketahui, separuh jemaah haji Malaysia mendarat di Madinah dahulu, jadi miqat Bir Ali antara miqat utama yang digunakan oleh jemaah Malaysia sebelum masuk ke Mekah.

2. Al-Juhfah (Rabigh)

  • Miqat bagi penduduk Syam seperti Syria, Jordan, Palestin dan kawasan sekitarnya.

  • Pada masa kini, kebanyakan jemaah berniat ihram di Rabigh yang terletak berhampiran lokasi asal Juhfah.

3. Qarn al-Manazil

As-Sail Al-Kabir

  • As-Sail Al-Kabir merupakan miqat bagi penduduk Najd serta mereka yang datang dari arah timur termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, Pakistan dan beberapa negara Asia Tenggara yang lain.

  • Bagi jemaah Malaysia yang menaiki pesawat ke Jeddah, niat ihram biasanya dilakukan ketika pesawat menghampiri atau melintasi garisan miqat Qarnul Manazil di udara selepas pengumuman dibuat oleh juruterbang atau mutawif.

  • As-Sail Al-Kabir juga merupakan lokasi miqat yang paling masyhur dan sering dikaitkan dengan Qarnul Manazil pada masa kini.

  • Di sini terdapat masjid miqat yang besar serta pelbagai kemudahan untuk jemaah yang datang melalui jalan darat dari arah timur Arab Saudi.

Al Kabir

Wadi Mehram

  • Wadi Mehram pula terletak di laluan Al-Hada, Taif dan dikenali sebagai miqat bahagian atas (upper miqat) dalam kawasan Qarnul Manazil.

  • Ia lebih banyak digunakan oleh jemaah yang datang dari Taif melalui jalan pergunungan Al-Hada menuju Mekah.

  • Kedua-dua lokasi ini berada dalam kawasan miqat Qarnul Manazil yang sama dan sah untuk memulakan ihram.

Ramai yang menyangka bahawa As-Sail Al-Kabir dan Wadi Mehram merupakan dua miqat yang berbeza.

Sebenarnya tidak kerana kedua-duanya berada dalam miqat yang sama iaitu Miqat Qarn al-Manazil.

Perbezaan As-Sail Al-Kabir dan Wadi Mehram hanyalah pada laluan perjalanan yang digunakan oleh jemaah.

Oleh kerana pembangunan jalan raya dan perubahan laluan pengangkutan dari semasa ke semasa, kedua-dua lokasi ini digunakan bagi memudahkan jemaah yang datang dari arah berbeza untuk memulakan ihram mereka.

Wadi Mehram

4. Yalamlam

  • Miqat bagi penduduk Yaman dan mereka yang datang dari arah selatan.

  • Jemaah dari Malaysia yang menaiki pesawat ke Arab Saudi lazimnya akan berniat ihram apabila pesawat menghampiri kawasan miqat ini.

5. Dhat Irq

  • Miqat bagi penduduk Iraq dan kawasan sekitarnya.

  • Kurang dilalui berbanding miqat lain pada masa kini, namun masih termasuk dalam miqat yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.

Miqat Umrah Penduduk Mekah

Bagi mereka yang sudah berada di Mekah dan ingin mengerjakan umrah, mereka perlu keluar terlebih dahulu ke kawasan tanah halal sebelum berniat ihram.

Antara lokasi yang sering menjadi pilihan untuk berniat ihram adalah:

  1. Masjid Aisyah (Tan'im)

  2. Ji'ranah

  3. Hudaibiyah

Kenapa miqat penting?

Miqat boleh diibaratkan sebagai "pintu masuk rasmi" untuk ibadah haji dan umrah. Sekiranya seseorang melepasi sempadan miqat secara sengaja tanpa berniat ihram (sedangkan dia memang bertujuan mengerjakan haji atau umrah), dia wajib berpatah balik ke miqat tersebut untuk berniat.

Jika tidak berbuat demikian, dia boleh dikenakan dam (denda) mengikut ketetapan hukum fiqh.

Justeru sebelum memasuki Mekah bagi tujuan haji dan umrah, seseorang perlu:

  • Memakai pakaian ihram (bagi lelaki).

  • Berniat haji atau umrah.

  • Mematuhi segala larangan ihram hingga selesai ibadah tertentu.

Semoga suatu hari nanti Allah SWT mengurniakan kesempatan kepada kita semua untuk menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci.

Mudah-mudahan kita bukan sekadar mendengar atau membaca tentang miqat, malah dapat melihat sendiri tempat-tempat bersejarah tersebut dengan mata kepala sendiri serta merasai pengalaman beribadah di hadapan Kaabah bersama jutaan umat Islam dari seluruh dunia. Aamiin.