Siakap Keli
Gambar Hiasan/Media Terjah

‘Adat Berniaga Tu Nombor Dua Cikgu, Nombor Satu Ialah Ketentuan Allah Taala”

Kadang-kadang, dalam kehidupan seharian kita boleh mendapat teguran dan nasihat daripada individu-individu yang tak disangka-disangka. Walaupun kadang-kala nasihat yang diberi simple sahaja, namun sebenarnya ia banyak terkandung dengan nilai-nilai yang begitu penting dalam kehidupan seharian.

Situasi berkenaan boleh disamakan dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang guru, Mohd Fadli Salleh yang sebelum ini kerap menjadikan platform facebooknya sebagai medium untuk menyebarkan mesej-mesej positif demi kebaikan sesama manusia.

Jom baca perkongsiannya di bawah. Semoga bermanfaat.

“Macamana jualan hari ni kak?” soalku pada akak penjual keropok dari Thailand ini.

“Hari ni slow cikgu. Semalam alhamdulillah,” balasnya tersenyum.

“Oh, biasalah tu kak. Adat berniaga. Ada turun ada naik,” balasku pula.

“Adat berniaga tu nombor dua cikgu. Nombor satu ialah ketentuan Allah taala. Dia dah tetapkan rezeki akak banyak ni sahaja hari ini. Tak apa lah. Kita dah usaha. Selebihnya kena redha.”

Dia berkata pada aku sambil mengemas barang-barangnya menanti kereta datang ambil untuk pulang.

Aku senyum sahaja sambil mengangguk kepala tanda setuju.

“Nah cikgu. Ambillah rasa. Akak sedekah.”

“Eh, tak apa kak. Jualan akak pun slow. Lagi pun ni barang dagang tokey akak punya. Akak kena ganti pula nanti,” ujarku.

“Ambil sahaja cikgu. Rezeki ni kena berkongsi. Nak cari dunia sampai mati tak kan habis. Mengejar duit ni tiada akhirnya. Makin dicari makin menggila peluang dan rezeki depan mata.

Dalam diri kita, kena ada had. Kena ada qonaah. Perlu ada rasa cukup dengan apa yang ada. Jika dalam diri tiada rasa cukup, sentiasa mahu lebih dan lebih, hilang satu nikmat besar sebenarnya.”

Lama aku tenung akak ini. Wajah redupnya itu penuh dengan mutiara yang tersorok didada.

Kadang kita selalu berkongsi “quote” dari usahawan handalan lain. Dari founder Google, founder Alibaba, founder McDonald’s dan sebagainya.

Kata-kata mereka kita jadikan sumber inspirasi dan pembangkit semangat untuk terus berjaya. Betul dah tu. Itu sumber motivasi kita.

Namun kadang-kadang kata-kata seorang penjual jalanan seperti akak ini pun boleh disemat dalam hati. Semat dalam-dalam sebagai panduan.

Agar kita meletakkan had juga. Agar sikap qonaah itu tidak hilang dalam diri. Sebaik ianya hilang, maka hilanglah jiwa seorang hamba itu.

Satu renungan yang berbekas dihati.

#MFS
– Hilang sebelum pulang –

Sumber: Mohd Fadli Salleh

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.