Siakap Keli
Foto: Michael Deas/digitalrev

Ingat Saja Terpacak Kat Situ, Rupanya Ini Kisah Sebenar Imej Wanita Selalu Kita Tengok Dalam Filem Hollywood

Bagi semua kaki movie di luar sana, pasti ada beberapa logo syarikat produksi di awal tayangan yang sudah sebati dengan anda setiap kali menonton filem di panggung wayang, paparan telefon dan laptop ataupun di kaca televisyen.

Antara logo yang paling popular di kalangan penggemar filem ialah logo bagi syarikat Columbia Pictures. Logo syarikat ini memaparkan imej seorang wanita memegang obor sambil berdiri di atas pentas tangga serta berlatar belakangkan awan serta tulisan ‘COLUMBIA’.

Foto: Variety

Namun, siapakah sebenarnya gerangan wanita yang memegang obor tersebut?

Beliau bernama Jennifer Joseph. Kisahnya bermula apabila Michael Deas yang merupakan seorang pelukis, telah dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan logo terbaru bagi Columbia Pictures.

Lantas, dia meminta bantuan rakannya yang juga seorang jurugambar, Kathy Anderson untuk mengambil satu gambar rujukan ‘Torch Lady'(Wanita Obor) bagi lukisan yang ingin dihasilkan.

Maka, Deas telah memohon agar rakan sekerja Kathy iaitu Jennifer Joseph untuk menjadi model dalam gambar yang mahu ditangkap oleh Kathy. Mereka menjalankan pengambaran pada bulan Julai 1991 dan lukisan logo dihasilkan Deas diterima dan digunapakai sehingga hari ini.

Foto: digitalrev

Kejayaan itu juga menjadikan Joseph sebagai wanita pertama yang direkodkan sebagai model bagi syarikat Columbia Pictures selepas  mereka dikatakan tidak mempunyai sebarang dokumentasi mengenai model-model mereka sebelum ini.

Mereka sebelum itu pernah beberapa kali bertukar logo tetapi kesemua logo yang mereka gunakan sejak penjenamaan semula dari CBC Film Sales ke Columbia Pictures pada tahun 1924 menggunakan wanita sebagai subjek utama.

Antara logo-logo yang pernah digunakan(Foto: Google)

Columbia Pictures telah dibeli oleh Sony pada tahun 1989 dengan harga $3.4 bilion dan mereka pernah dijenamakan sebagai Columbia Studios sebelum kembali menggunakan nama asal tidak lama selepas itu.

Selepas itu, mereka terus menghasilkan filem-filem ‘pecah panggung’ seperti The Amazing Spider-Man, Men in Black, Hotel Transylvania serta Resident Evil: Retribution.

Sumber: digitalrev, Real Classics

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi