Siakap Keli
Gambar Hiasan

Bapa Dan Anak Antara Penagih Ditahan Di Masjid Kapitan Keling

GEORGE TOWN – Seorang remaja berumur 13 tahun dan bapanya antara 14 individu yang ditahan kerana positif dadah dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan di sekitar kawasan Jalan Masjid Kapitan Keling, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang hari ini berkata remaja yang dipercayai sudah tidak bersekolah lagi itu ditahan bersama bapanya yang berumur dalam lingkungan 40an ketika kedua-duanya meminta sedekah semalam di kawasan masjid itu.

“Operasi itu dijalankan berikutan aduan orang ramai berhubung kehadiran penagih dadah dipercayai meminta sedekah di kawasan berkenaan dan hasilnya polis menahan 14 individu tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya tangkapan semalam melibatkan 12 lelaki dan dua wanita berumur antara 13 dan 56 tahun yang mana salah salah seorang daripada lelaki itu dipercayai dalang yang mengedar dadah kepada mereka dengan sejumlah heroin dan syabu ditemukan dalam milikannya.

“Polis akan terus menjalankan operasi dari masa ke masa bagi memastikan kawasan Jalan Masjid Kapitan Keling ini bebas daripada sebarang aktiviti tidak sihat dan mencemarkan imejnya kerana ia merupakan  tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.