Siakap Keli
Foto: The Guardian/Post Courier

Wanita Hamil & Kanak-Kanak Jadi Korban Terbaru Pemberontakan, PM Beri Amaran Keras

Papua New Guinea kini sedang menghadapi detik-detik hitam dalam sejarah negara mereka apabila pemberontakan antara puak di sana dilihat semakin membimbangkan.

Terbaru, seramai 16 orang individu yang tidak bersalah telah menjadi mangsa kekejaman puak-puak yang sedang bertelagah ini. Lebih menyayatkan hari, mangsa-mangsa itu dilaporkan terdiri daripada kanak-kanak berumur satu hingga 15 tahun dan wanita hamil.

Pertembungan terbaru itu berlaku di kampung Karida yang terletak di kawasan Hela dan didiami oleh sekitar 800 orang penduduk. Serangan ini adalah yang terburuk pernah berlaku di Papua New Guinea sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Philip Pimua, pegawai yang ditugaskan di pusat perubatan Karida berkata, serangan tersebut bermula seawal jam 6 pagi pada Isnin di mana ada orang ramai dibunuh sebaik sahaja membuka pintu rumah.

Foto: The Guardian

“Saya bangun pagi dan pergi ke dapur untuk menyalakan api, tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan. Saya lihat musuh sudah memasuki kampung, lantas saya larikan diri dan sembunyi di dalam semak,”katanya kepada pemberita.

“Kira-kira jam 9 atau 10 pagi, saya kembali keluar dan terlihat beberapa mayat bergelimpangan, ada di antara mereka yang dicincang dan beberapa rumah dibakar,”tambahnya lagi.

Kejadian terbaru ini jelas mencetuskan kemarahan Perdana Menteri mereka, James Marape dan beliau telah mengeluarkan amaran tegas terhadap penyerang yang disyaki terdiri daripada puak Hagui, Okiru dan Liwi melalui akaun Facebook-nya.

Marape yang juga berasal dari Karida berkata, “Hari ini adalah salah satu hari paling sedih dalam hidup saya. Ramai ibu dan anak kecil yang tidak bersalah terbunuh dalam serangan yang didalangi puak Hagui, Liwi dan Okiru di Munima dan Karida.”

“Kepada penyerang dari Hagui, OKiru dan Liwi, serta mereka dari Tari yang meneruskan hidup dengan membunuh orang lain, saya akan datang kepada kamu,”tegas Marape lagi.

Pihak berkuasa tempatan pula menegaskan bahawa mereka akan memburu penyerang yang terlibat dan akan sentiasa berusaha memastikan mereka akan dapat pembalasan yang setimpal.

Sumber: The Guardian, FB James Marape

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi