Siakap Keli
Foto: FB Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri

Pergerakan Diekori, Kisah ‘The Dozen Person’ Menyusup Masuk Negara Orang Nak ‘Settle’ Kes MH17

Selepas kira-kira lima tahun ditembak jatuh, akhirnya identiti empat orang suspek utama insiden yang melibatkan penerbangan Malaysia Airlines, MH17 didedahkan pada bulan lalu.

Mereka ialah tiga warga Rusia, Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov serta seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko.

Foto: Washington Post

Pada beberapa hari selepas kejadian itu, sepasukan perunding yang digelar sebagai ‘The Dozen Person’ telah dihantar ke Donetsk, Ukraine untuk berunding dengan pasukan penentang di sana.

Pengalaman getir operasi itu telah dikongsikan oleh laman Facebook Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini.

PENGALAMAN GETIR THE DOZEN PERSON DALAM MISI MH17

Tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 tetap menjadi detik hitam dalam sejarah negara. Walaupun sudah lima tahun berlalu, namun ia masih segar dalam ingatan.

Memasuki zon perang dengan ‘tangan kosong’, tanpa sebarang senjata api bagi melindungi keselamatan diri antara pengalaman getir terpaksa ditempuh Ketua Perunding The Dozen Person, Kolonel Mohd Sakri Hussin, dalam penugasan MH17.

Foto: FB Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri

Kolonel Mohd Sakri Hussin kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Penyelaras Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pengalaman itu terpahat kukuh dalam ingatannya walaupun telah lama berlalu.

Beliau berpengalaman selama 38 tahun dalam bidang ketenteraan dan keselamatan, selain misi kemanusiaan, mencari dan menyelamat (SAR) serta konflik antarabangsa, operasi itu cukup mencabar kerana wujud banyak pihak berkepentingan yang berkehendakkan bahan bukti berkenaan.

Foto: FB Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri

Dugaannya yang perlu dihadap bukan calang-calang, lebih-lebih kita berada di zon perang. Pengalaman ini lebih ‘hebat’ dari penugasan beliau pada era insurgensi, begitu juga operasi pengaman yang pernah disertai bersama Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), misi kemanusiaan atau bencana lain.

Terdapat 10 ‘checkpoint’ terpaksa ditempuhi sepanjang perjalanan ke Donetsk (Timur Ukraine), dengan setiap ‘checkpoint’ ada pelbagai karenahnya, selain pergerakan kita diekori. Lebih mencabar kerana sepanjang operasi ini, kita sendiri tidak tahu siapa kawan, siapa musuh, yang memerlukan kita berwaspada sepanjang masa.

Di sepanjang perjalanan ke wilayah bergolak itu, yang dikuasai Kumpulan Pemisah Donetsk (DSG), beliau sentiasa mengingatkan 11 anggotanya supaya terus berpuasa dan tidak berhenti berdoa supaya dilindungi Allah.

Ini disifatkan sebagai misi berani mati, keupayaan The Dozen Person menyelesaikan proses rundingan dalam tempoh 24 jam, tiga hari selepas pesawat itu ditembak jatuh, mengagumkan masyarakat antarabangsa.

Malah, rundingan diselesaikan tanpa sebarang syarat ditetapkan oleh pemimpin pemisah, Alexander Borodai, yang mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri Republik Rakyat Donetsk (DPR).

Foto: FB Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri

Selain beliau ketika itu bertugas dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), The Dozen Person turut dianggotai pakar komunikasi, doktor perubatan, pakar patologi dan pengecaman mangsa bencana (DVI), jurubahasa tentera, pegawai Pasukan Khas Penyelamat dan Bencana Malaysia (SMART) serta anggota komando sebagai langkah keselamatan.

Lebih mencabar lagi, dalam perjalanan keluar dari ‘ground zero, beliau dan 11 orang anggotanya turut berdepan dengan pelbagai insiden menggerunkan, termasuk cubaan melarikan bahan bukti itu.

Ketika itulah, pegawai komando dalam kumpulan perlu melindungi keselamatan bahan bukti itu walaupun terpaksa pertaruhkan nyawa mereka. Alhamdulillah, semuanya selamat dan dipermudahkan.

Info Kumpulan The Dozen Person:

– Kolonel Mohd Sakri Hussin (NADMA – Ketua Perunding)

– Brigedier Jeneral Datuk Dr Mohd Ilham Haron (ATM – Perubatan)

– Dr Mohd Shah Mahmood (HKl – Patologi dan DVI)

– Mejar Nazri Musman (ATM)

– Mejar Dr Mohd Hafizi Abdullah (ATM – Perubatan)

– Mejar Muhammad Mustafa Omar (PASKAU – TUDM)

– Kapten Dr Mohd Zainizam Zainal (ATM-Jurubahasa)

– Inspektor Abd Rahim Abd Aziz (SMART)

– Sarjan Shahrizal Abu Bakar (PASKAU – TUDM)

– Koperal Rosli Mustafa (PASKAU – TUDM)

– Laskar Udara Kanan Mohd Afendy Ahmad Zaini (PASKAU – TUDM)

– Rosli Shaari (SAPURA Technologies – Pakar Komunikasi)

Kepada mereka yang terlibat dalam operasi ini, kami mewakili rakyat Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kerana sanggup mempertaruhkan nyawa anda demi melaksanakan tugas terhadap negara. Anda semua sememangnya wira di hati kami.

Sumber: Facebook Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi