Siakap Keli
Bekas wartawan jenayah, Syahril A. Kadir (kiri) bergambar bersama Sarjan Sabu. (Kredit: Syahril A. Kadir)

Pernah Tumbangkan Ratusan Penjenayah, Ini Kisah ‘Malaikat Maut’ UTK PDRM Ramai Tak Tahu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Di sebalik pasukan polis yang giat menewaskan penjenayah, jarang sekali kita mengenali sosok di dalamnya yang memperjudi jasad dan nyawa untuk menjaga keamanan negara.

Terpaksa merisikokan diri dan mungkin keluarga, mereka tetap gigih berkhidmat untuk membanteras kegiatan jenayah yang berlaku dari sekecil-kecil jenayah sehinggalah melibatkan kes berprofil tinggi.

Baru-baru ini, bekas wartawan jenayah, Syahril A. Kadir berkongsi coretan tentang seorang bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK), Sarjan (B) Nazaruddin yang kian dilupakan. Jom kita telusuri kisahnya.

SARJAN SABU ‘MALAIKAT MAUT’, WIRA YANG DILUPAKAN

Semalam bila saya bercerita kembali kisah mendiang S. Kulasingam, pegawai polis yang pernah ditembak sampai organ tubuhnya hancur, ditetak dan pernah disimbah asid, ramai yang tanya, takkan hanya pegawai saja yang hebat, anggota tak ada ke?

Bila sebut anggota, tak boleh tidak ingatan saya akan melayang kepada Sarjan (B) Nazaruddin atau lebih dikenali sebagai Sabu ini (dia lebih dulu pakai nama Sabu sebelum Menteri Pertahanan kita hehehe).

Walaupun dah dua tiga kali saya menulis mengenai beliau, namun saya tidak pernah jemu bercerita mengenai bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK) dan detektif Cawangan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur ini.

Di tangannya saja, berpuluh dan mungkin beratus perompak, penculik, pembunuh dan penjenayah tegar yang mengganas di ibu kota Kuala Lumpur sekitar tahun 80’an mati di hujung senjatanya sampaikan ada di kalangan penjenayah menggelarnya Malaikat Maut!

Kredit: Syahril A. Kadir

Beliau pernah dikejarkan ke hospital kerana ditembak di bahagian leher, beliau pernah hampir lumpuh kerana terjatuh sewaktu latihan terjun payung, calar balar kerana bertumbuk dengan samseng-samseng ni jangan ceritalah.

Namun kerana semangat yang luar biasa, beliau tidak pernah menunggu lama untuk berada di wad. Sewaktu kelongsong peluru menembusi lehernya, Sabu hanya baring beberapa jam di wad, ini kerana beliau ambil keputusan untuk ‘lari’ sebab hendak menyambung tugas!

Tebusan Penjara Pudu

Dalam peristiwa tebusan Penjara Pudu pada tahun 1986, Sabu dan rakan-rakan UTKnya hanya mengambil masa beberapa minit untuk menumpaskan kumpulan penculik di penjara tersebut – dan mereka hanya menggunakan batang rotan!

Sabu yang terkenal dengan imej berambut Afro, lebih suka menggunakan pump gun untuk menamatkan riwayat penjenayah selain pistol semi automatik yang diikat kemas di pinggang dan kakinya.

Disebabkan semangat dan keberaniannya yang luar biasa, Yang Dipertuan Agong berkenan menganugerahkan pingat kedua tertinggi keberanian negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada Sabu.

Ketika ini tak ramai penerima pingat PGB yang masih hidup dan Sabu adalah salah seorang daripadanya.

Ini kata-kata Sabu ketika saya menemubualnya suatu ketika dulu;

“Tiap-tiap manusia ada perasaan takut, bila kita nak pergi ke satu-satu operasi, belum bergerak lagi kencing dah tak betul. Walaupun dah dilatih, perasaan takut tetap ada, toksah temberanglah.

“Tetapi bila dapat tahu penjenayah itu suka bunuh orang dan sebagainya, perasaan takut itu hilang. Masuk saja van, kita dok ingat muka penjenayah tu saja. Kita tahu kita mesti nak ‘ambil’ dia.

“Ajal maut di tangan Tuhan, Bismillah… JALAN!”

Kredit: Syahril A. Kadir

Namun sayang, insan hebat sepertinya kini seolah-olah tidak dipedulikan. Beliau yang kini berumur dalam lingkungan 70’an hanya menghabiskan masa di flat PPR di Jalan Peel, Cheras. Tiada gelaran kebesaran bawa gelaran Datuk atau Tan Sri, tiada tanah kurniaan, tiada apa hendak dibanggakan.

Nasib baiklah PDRM masih ingat untuk menjemputnya ke PULAPOL pada setiap kali ulang tahun pasukan. Sekurang-kurangnya dapatlah beliau melepaskan rindu pada pasukan yang dicintainya itu.

Insan seperti Sabu adalah antara ribuan anggota pasukan keselamatan yang sangup bergadai nyawa bagi memastikan kita tidur lena, namun sumbangan mereka semakin hari semakin dilupakan, dihargai jauh sekali.

Yang pasti, andaipun suatu hari nanti mereka tiada lagi di dunia ini, semangat mereka akan terus kekal dan tak akan mati.

Teringat kata-kata General McArthur – “Old soldiers never die, they just fade away.”

SYAHRIL A. KADIR.
Petaling Jaya, Selangor.

Sumber: Syahril A. Kadir

Arifah

Banyak benda dalam dunia ni berada di luar pengetahuan kita - lalat hinggap atas kepala sendiri pun kita tak tahu.
So, pause & stop judging everyone we don't know. We might only knew 0.1% of their life.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.