Siakap Keli
Gambar: Bernama

(Gambar) Menggunakan Peralatan Muzik Istana Berusia 99 Tahun, Kumpulan Nobat Diraja Bersedia Hadapi Hari Pertabalan

KUALA TERENGGANU, 25 Julai (Bernama) — Bagi memberi persembahan terbaik sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini, Kumpulan Nobat Diraja Terengganu telah melakukan latihan giat sejak dua bulan lalu.

Seramai 10 orang ahli kumpulan tersebut berlatih mengalunkan muzik terpilih untuk dimainkan ketika istiadat selama dua jam sehari di lokasi khusus, Istana Syarqiyyah, di sini.

Ketua Kumpulan tersebut, Tengku Ibrahim Tengku Ismail, 68, berkata mereka akan menggunakan enam peralatan istimewa berusia 99 tahun yang telah digunakan sejak 1920 dalam mengalunkan muzik istana.

Enam peralatan yang dimaksudkan ialah sebuah gendang ‘ibu’, gendang ‘anak’, gendang saku atau nahara, nafiri (serunai besar), serunai dan sepasang kopak-kopak. Ada antara alat muzik berkenaan yang diperbuat daripada perak dan tembaga.

Gambar: Bernama

“Pada bahagian nafiri dan peralatan lain ada ukiran kecil dengan tulisan Jawi tertera 1338H,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun berperanan meniup nafiri, ketika ditemui Bernama di Istana Syarqiyyah.

Kata beliau, penggunaan peralatan muzik tersebut mempunyai tatacara tersendiri di samping pemuzik nobat perlu memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan terbaik terutamanya yang meniup nafiri.

Tengku Ibrahim yang mewarisi nafiri daripada keturunan sebelumnya berkata, beliau akan berehat beberapa minit setiap kali berlatih bagi memastikan mempunyai nafas yang cukup untuk meniup nafiri kerana kerana lagu nobat biasanya dimainkan sepanjang tiga hingga lima minit.

“Sebab itu kalau berlatih selepas dua atau tiga lagu kena rehat dalam 10 ke 15 minit kerana bukan sahaja nafas tetapi juga mengelakkan bunyi nafiri terganggu. Kalau tiup kerap kali secara bertubi-tubi ia (nafiri) tidak keluarkan bunyi,” katanya.

Gambar: Bernama

Lagu yang akan dipermainkan sempena Istiadat Pertabalan akan datang ialah lagu ‘Iskandar’ iaitu ketika Yang di-Pertuan Agong berangkat masuk, diikuti lagu ‘Ibrahim Khalil’ selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah dan lagu ‘Seri Istana’ apabila Yang di-Pertuan Agong berangkat keluar.

Walaupun gementar, Tengku Ibrahim yakin mereka mampu mempersembahkan yang terbaik kerana kumpulan nobat mereka melakukan latihan setiap minggu sepanjang tahun walaupun tiada istiadat berlangsung.

Dalam sejarah Nobat Diraja Terengganu, seni muzik orkestra diraja tradisional itu sering diperdengarkan setiap hari pada waktu pagi dan petang ketika Istiadat Perkahwinan Diraja, bulan puasa (pada waktu petang) dan setiap petang Khamis di Istana Bersemayam Tuanku Sultan.

“Tetapi pada masa ini, nobat tidak lagi dimainkan pada waktu-waktu berkenaan tetapi hanya dimainkan dalam istiadat-istiadat seperti Istiadat Penghadapan sempena Hari Keputeraan, Istiadat Pertabalan dan Istiadat Perkahwinan serta istiadat lain yang diperkenan.

Gambar: Bernama

“Nobat hanya dimainkan khas untuk sultan sahaja atau mana-mana orang yang diperkenankan dan dimainkan di dalam istana,” katanya.

Sehingga kini, menurut Tengku Ibrahim, pihaknya tidak menemui mana-mana individu yang boleh menghasilkan peralatan muzik nobat dengan baik, menyebabkan mereka menjaga peralatan muzik dengan rapi serta hanya individu tertentu sahaja yang boleh menggunakannya.

Selain lagu-lagu yang akan dipersembahkan pada istiadat akan datang, kumpulan tersebut turut menguasai tiga lagu lain iaitu ‘Arak-Arak’, ‘Palu-Palu Melayu’ dan ‘Bersiram’.

Menariknya, setiap ahli kumpulan nobat atau digelar ‘Orang Nobat’ menghafal setiap alunan lagu warisan dengan hanya mendengar muzik tersebut tanpa sebarang nota lagu.

Kredit: Bernama

“Memang dari dahulu belajar semua ini tidak ada nota. Cuma ingat dalam kepala masing-masing. Katakan hendak mula apa sahaja lagu semua ahli kena sepakat. Sebut sahaja nama lagu, dia (ahli kumpulan nobat) sudah tahu hendak buat apa.

“Pelapis nobat kena dengar dengan teliti setiap lagu dan ingat. Satu lagu kadang-kadang mengambil masa sehingga dua bulan untuk mengingatinya,” katanya yang mewarisi kebolehan bermain nobat daripada ayahnya Tengku Ismail Tengku Sulaiman.

Kata beliau, dahulunya, Nobat Diraja Terengganu hanya dianggotai anak-anak raja namun lama-kelamaan ia turut disertai rakyat biasa, namun diwarisi oleh keturunan yang sama kebiasaannya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.