Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Dirempuh Kereta, Seorang Penunggang Motosikal Maut, Seorang Cedera Parah

Batu Pahat : Seorang penunggang motosikal warga emas maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas kedua-dua mereka terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua buah motosikal di Batu 1, Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, dekat sini, hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ng En Chya, 55, manakala Ooi Bok Chai, 57, cedera parah.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam Isyadi Dani berkata dalam kejadian itu, dipercayai kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal berasingan sedang dalam perjalanan dari arah Air Hitam ke Yong Peng, telah dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

”Kereta yang dipandu lelaki berumur 21 tahun itu datang dari arah Yong Peng ke Ayer Hitam dan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar dua motosikal yang dinaiki mangsa dari arah bertentangan.

”Ng maut di lokasi kejadian setelah tercampak dan tersangkut di saluran air, kira-kira empat meter dari lokasi kemalangan sementara Ooi, yang  menunggang motosikal jenis Suzuki RGV pula cedera parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismaill (HSNI) Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Kedua-dua pemandu dan penumpang kereta, yang tidak dikenal pasti identiti mereka, hanya cedera ringan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supt Muhammad Izzudin Runggai mengesahkan kejadian berkenaan dengan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.