Siakap Keli
Kredit: Sp1derboi

Tercampak 70 meter Dan Separuh Otaknya Hancur, Lelaki Ini Tetap Bangkit Walau Lupa Cara Untuk Bertutur

Setiap orang yang hadir dalam hidup kita merupakan sebahagian daripada percaturan Tuhan untuk mengajar kita sesuatu. Ada yang mengajar dengan memberi kepahitan dan ada yang menjadi inspirasi kepada kita melalui ketabahan mereka menghadapi ujian.

Ujian yang hebat untuk orang yang hebat. Inilah kata-kata paling tepat untuk menggambarkan kehebatan seorang lelaki bernama Takalah yang begitu kuat menongkah ujian hidup yang hampir meragut nyawanya suatu ketika dahulu.

Seorang pengguna Twitter dari Singapura, Sp1derboi berkongsi pertemuannya dengan Takalah ketika menaiki pengangkutan awam di sana.

“Nama lelaki ini Takalah dan beliau merupakan seorang yang aktif bersukan dengan menyertai triathlon dan sebagainya. Beliau seorang yang bijak, bergraduasi daripada universiti dengan beberapa anugerah bersama ijazah kejuruteraan dan jaminan mendapat pekerjaan di firma multinasional.

Namun sayangnya, Takalah mengalami kemalangan teruk ketika menunggang motosikal sehingga menyebabkan sebahagian daripada otaknya hancur di atas jalan di samping patah tiga tulang rusuk dan patah kaki. Takalah dimasukkan ke ICU dan menjalani pembedahan otak selama 14 hari diikuti pembedahan susulan selama tiga bulan.

Dalam sebuah dokumentari ringkas Singapura, Takalah berkata dia mempunyai hanya 0.1 peratus peluang untuk hidup akibat kemalangan tersebut. Rusuknya yang patah telah menebuk paru-paru, dia hilang satu pertiga darah dari badan selain kehilangan air di dalam otaknya sehingga doktor menggantikan air tersebut dengan cecair buatan.

Ahli bedah saraf berkata kepadanya,

“Tidak mengapa anda kehilangan sebahagian otak anda. Anda hanya perlukan 2 peratus daripadanya untuk berfungsi.”

Kehilangan sebahagian besar memori, Takalah tidak mampu mempersoal kenyataan doktor. Dia ke perpustakaan untuk mencari buku tentang fisiologi manusia di mana dia terbaca kajian sekumpulan penyelidik mengenai otak Einstein.

“Mereka mendapati Einstein hanya menggunakan kurang 10 peratus daripada otaknya. Hal ini memberi harapan buat saya.”

Takalah ketika dalam rawatan. Kredit: Sp1derboi)

Kata Sp1derboi, “Menurutnya, beliau sedar tanpa tahu apa-apa dan terpaksa belajar dari awal termasuk perkara trivia seperti bercakap.

“Saya cukup kagum dengannya kerana mampu bertutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris dengan kemahiran yang sangat mantap.

“6 tahun setelah keluar daripada hospital, Takalah mempunyai ijazah dalam pendidikan. Sehingga hari ini, anda akan berasa seolah-olah beliau bukan mangsa kemalangan ngeri, bukan semata kerana keajaiban dunia perubatan tetapi kerana beliau tetap tidak membenci Tuhan atau dunia ini.”

“Sifar kebencian,” kata Sp1derboi mengakhiri perkongsiannya dengan kekaguman terhadap sikap positif Takalah yang redha dan tetap bangkit walaupun dihenyak ujian dunia ketika berada di puncak kehidupan.

 

Sumber: Sp1derboi

Amira

Love yourself.