Siakap Keli

Nilai 3 Akan Bangun Semula

SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) — Terdapat 750 premis di Pasar Borong Nilai 3, tetapi kurang separuh daripada jumlah itu yang beroperasi.

Difahamkan hanya 331 premis yang masih beroperasi dan itu bukanlah satu petanda baik bagi Nilai 3 – terletak kira-kira 28 kilometer (km) dari sini – sebuah pusat perniagaan yang dahulunya pernah dinobatkan dalam Malaysian Book of Records, sebagai Pusat Pemborong Terbesar di Malaysia.

Hari ini, di sekitar Nilai, Nilai 3 bukan lagi satu-satunya pusat beli-belah yang ada. Pertumbuhan pasar raya dan pusat beli-belah lain dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyebabkan perniagaan di Nilai 3 semakin lembap.

Menurut Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Nilai (MPN) Datuk Zazali Salehudin, berdasarkan pemerhatian pihaknya, faktor utama yang menjejaskan kedatangan pengunjung ke Nilai 3 adalah kepelbagaian aktiviti perniagaan serta harga yang ditawarkan.

Kini terdapat beberapa tempat lain yang menjalankan perniagaan sama konsep dengan Nilai 3, malah menawarkan harga lebih rendah. Maka, keadaan itu menjadi persaingan antara pemborong yang menjalankan konsep perniagaan sama di tempat lain sebagai contoh di GM Klang, Plaza GM dan Kenanga Wholesale City (KWC), kedua-duanya di Kuala Lumpur.

“Selain itu, faktor kurangnya pusat tumpuan lain yang boleh dikunjungi oleh kalangan lelaki, kanak-kanak dan golongan muda, membuatkan pengunjung jemu untuk datang ke Nilai 3 kerana mereka hanya boleh membeli-belah sekadar apa yang ditawarkan sahaja.

“Bayangkan dalam satu keluarga yang datang ke Nilai 3, bukan semua nak beli-belah, ada yang nak berehat atau minum di kafe berhawa dingin, anak muda mencari lokasi untuk mereka beraktiviti, kanak-kanak pula akan mencari tempat permainan dan sebagainya tetapi semua ini tiada,” katanya ketika ditemui Bernama.

WAKTU OPERASI TIDAK KONSISTEN

Terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pasar basah dan kering blok A hingga G; Sentral Bazaar (Kids Entertainment Vendor); Food Vendor; Bintang Walk Nilai 3; Suria Nilai 3 dan Bazar Sentral Nilai 3, bagaimanapun tidak semuanya beroperasi dengan sempurna. Malah ada antaranya kelihatan seperti kawasan tinggal yang terdapat barangan lama yang terbiar dan tidak diselenggara.

Dari segi perniagaan di Nilai 3, 50 peratus menjual permaidani dan langsir manakala selebihnya menjual pakaian, perabot, barangan perhiasan rumah dan industri ringan.

Nilai 3 dahulunya terkenal dengan keupayaan peniaga langsir menyiapkan jahitan langsir yang ditempah pelanggan dalam masa satu jam, meskipun harganya mencecah ribuan ringgit, namun keunikan itu adalah antara daya tarikan ke sana.

Tinjauan Bernama mendapati, masih ada premis yang belum dibuka pada 10 pagi dan difahamkan keadaan itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana waktu dan hari operasi sesebuah premis sebenarnya bergantung kepada pemilik perniagaan berkenaan, tidak tertakluk dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada pengunjung yang sampai di situ awal pagi yang akhirnya berasa tidak senang kerana tidak tahu waktu dan hari operasi premis yang hendak mereka kunjungi.

Bayangkan jika seseorang itu sudah melalui perjalanan kira-kira 290 km dari Johor Bahru, untuk sampai ke Nilai 3, tetapi banyak premis tidak beroperasi. Potensi untuk individu itu kembali semula ke sana mungkin agak mustahil.

Mengulas perkara ini, Zazali berkata tidak ada penetapan khusus waktu perniagaan di Pasar Borong Nilai 3 itu.

Selain itu, aktiviti mempromosikan Nilai 3 sebagai pusat pemborong terbesar di Malaysia semakin kelam, sama ada dari agensi kerajaan mahupun persatuan peniaga sendiri berbanding pada awal-awal kewujudan Nilai 3 dahulu. Oleh itu, pengunjung hanya datang ketika musim perayaan atau perkahwinan.

TAHAP KEBERSIHAN PENTING

Zazali berkata isu kebersihan adalah antara yang menjadi perhatian pihaknya. Pada 2014, MPN dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) melancarkan program zon sifar sampah di kawasan Nilai 3.

Tindakan tegas diambil ke atas mana-mana individu yang didapati membuang sampah secara haram. Tempat pembuangan sampah haram dibersihkan dan disita agar pembuangan sampah haram tidak berlaku lagi.

“Setakat 2018, sebanyak 528 tan sampah pukal dikutip dan dibuang ke tapak pelupusan sampah di Tanah Merah, Port Dickson. Sehingga kini, pemantauan berkala dijalankan oleh MPN dan SWCorp.

“Tahap kebersihan tandas awam turut menjadi keutamaan, di mana semua tandas awam MPN diaudit serta dinilai tahap kebersihan secara berkala bahkan seorang penyelia dilantik bagi melakukan pemantauan terhadap semua tandas yang diselenggara oleh MPN,” katanya sambil menambah bahawa seorang kakitangan ditempatkan di kawasan berkenaan bagi menjaga kebersihan tandas.

Dalam usaha mengekalkan tahap kebersihan kawasan Nilai 3, Zazali meminta agar para peniaga turut terlibat dalam aktiviti gotong-royong dan bukan hanya berharap kepada PBT semata-mata.

PERLU NAFAS BAHARU

Zazali menegaskan, Nilai 3 wajar distruktur semula dan diberikan nafas baharu mengikut kehendak masyarakat masa kini yang lebih memilih keselesaan berbanding terpaksa bersesak-sesak atau berpanas.

Menurut beliau, isu Nilai 3 turut diketengahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelancongan MPN dan Majlis Perbandaran Seremban dan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pelancongan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Menteri Besar meminta agar Nilai 3 ini dipulihkan. Hari ini pilihan sudah banyak, orang boleh pergi mana-mana tempat yang berhawa dingin untuk dapatkan barang seperti yang ada di Nilai 3. Keadaan Nilai 3 hanya menjual barangan yang lebih cenderung untuk golongan wanita agak tidak sesuai untuk seisi keluarga.

“Tarikan lain mesti ada, sebagai contoh tempat permainan kanak-kanak, pusat extreme game, kafe atau kedai makan yang lebih selesa, kedai makanan eksotik atau masakan negeri, kemudahan yang mesra bayi dan yang berkaitan,” katanya.

Waktu operasi juga perlu ditetapkan bagi memastikan setiap peniaga dapat menjalankan perniagaan mengikut waktu dan hari yang ditetapkan seperti peniaga di pasar raya besar di mana mereka tertakhluk dengan waktu dan hari operasi perniagaan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan pasar raya berkenaan.

Malah, Zazali berkata dalam usaha memberikan nafas baharu kepada Nilai 3 dan memastikan promosi Nilai 3 tidak bersifat bermusim, acara bulanan antara inisiatif yang perlu dilaksanakan.

BUKAN CAKAP KOSONG

Hari ini, pembangunan semula Nilai 3 bukan lagi satu ‘cakap-cakap kosong’ apabila perkara itu mendapat perhatian Menteri Besar sendiri.

Menteri Besar baru-baru ini mengumumkan Nilai 3 akan dibangunkan semula sebagai destinasi pelancongan utama di negeri ini dan usaha sedang dijalankan termasuk mendapatkan kerjasama sebuah syarikat tempatan untuk menjadi pemaju kepada pembangunan semula Nilai 3.

“Alhamdulillah perjanjian dengan pemaju untuk bangunkan kawasan tersebut sudah dimuktamadkan, saya difahamkan pemaju juga akan membawa beberapa pelabur untuk sama-sama membangunkan Nilai 3.

“Bukan itu sahaja, Nilai Square yang berada kira-kira 7 kilometer dari Nilai 3 juga akan turut dimajukan semula termasuk mewujudkan pasar malam dan trak makanan yang dibina daripada kabin atau kontena. Projek ini akan dilaksanakan oleh pihak swasta,” kata Zazali.

Antara produk baharu yang akan diperkenalkan di Nilai 3 dan daerah itu dijangka terus menjadi tempat tumpuan ramai.

Beliau berharap tahap kebersihan Nilai akan terus dijaga dan keindahannya dipelihara dalam usaha menyediakan Nilai bagi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa