Siakap Keli
Gambar Hiasan

Palsukan Kad Pengenalan, Kakitangan JPN Didakwa

KOTA KINABALU – Seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)  didakwa  di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan kad pengenalan, pada Mei 2013.

Safiah Alijang, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manaf.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memalsukan kad pengenalan atas nama Muhamad Daniel  Hafiez Bin Arif@Jali yang mana dokumen tersebut dikeluarkan bukan kepada pemilik sebenar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 3.05 petang di JPN cawangan Pitas 22 Mei 2013,  mengikut Seksyen 463 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Faliq Basiruddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Bagaimanapun, Safiah yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan tidak berkemampuan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri dua bulan sekali di pejabat SPRM Kota Kinabalu, serta menetapkan 6 Sept depan untuk sebutan semula kes.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)