Siakap Keli
Gambar Hiasan

“Kalau Kita Tak Nak Sangat Jumpa Dan Ziarah Mak Kita, Nanti Tuhan Pisahkan Betul-Betul”

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pasti sudah tidak asing lagi dengan peribahasa ‘kasih sayang ibu sepanjang masa, kasih sayang anak sepanjang galah’ yang membawa erti kasih sayang seorang ibu itu selamanya sedangkan kasih sayang anak diberikan kepada orang tua memiliki batasannya.

Tersangatlah beruntung kepada insan yang masih mempunyai ibu, mak, mama dan bonda. Pastinya setiap kali pulang ke kampung, masih ada yang menyambut kepulangan kita, dapat masakkan makanan kegemaran dan boleh lagi mencium mereka.

Bagaimana pula untuk seseorang yang sudah kehilangan insan istimewa ini di dunia? Jika masih diberi peluang untuk menatap dan memberi bakti kepada mereka, hargailah sebelum anda menyesal di kemudian hari.

Perkongsian oleh seorang pengguna Facebook ini sangat menyentuh perasaan tentang penyelasalan seorang anak yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu kandungnya. Ini adalah satu pengajaran untuk kita semua yang dikongsikan oleh Firdaus Mokhtar di laman Facebooknya.

Pagi tadi saya sarapan dengan seorang kawan. Dia baru kehilangan mak mertua dia 3 hari lepas. Meninggal sebab sakit tua.

Dia tak kelihatan sedih sangat. Agaknya sebab sebulan lebih arwah sakit dan terlantar, dia dengan isteri yang jaga di rumah. Memang sebulan sebelum tu, arwah datang ke rumah.

Dah jadi rutin, 4 bulan duduk rumah dia, sebulan balik kampung. Lepas tu datang balik. Begitulah. Jadi datang yang kali ini, arwah sakit kuat. Lepas sebulan meninggal. Dia kata Tuhan mudahkan urusan arwah. Meninggal jam 3:30 pagi, pukul 11:00 pagi esoknya selesai kebumi.

Kejiranan taman dia tinggal di Shah Alam sana sangat membantu. Pukul 3:45 pagi dah ramai bantu itu ini. Syukur dia kata. Cuma dia terkilan 1 perkara.

“Agaknya Tuhan nak tunjuk benda ni dekat mata aku sendiri. Aku cerita ni kita ambil lah pengajaran,” dia berubah ke nada serius. Saya mendekatkan muka. Nak dengar betul-betul.

Tentang salah seorang ahli keluarga aku. Duduk tak jauh pun. Tapi tak selalu datang ziarah masa arwah sakit. Padahal dekat. Nak jadikan cerita, pagi arwah meninggal tu, Tuhan tak gerakkan ipar dia bangun tidur. Bukan dia sahaja, isteri dan anak-anak dia pun tak sedar.

“Aku telefon dia ni berkali-kali. Missed calls aku sahaja dekat henfon dia 21 kali. Langsung dia tak angkat. Biasanya dia akan bangun sembahyang subuh. Pagi tu seorang pun tak sedar,” dia sambung.

Entah pukul berapa abang dia sedar, dah berpuluh missed call, siap ada mesej baru dia dapat berita mak dia dah tak ada. Bersiap dari rumahnya ke rumah mak, sampai ke tanah perkuburan jenazah dah siap kebumi. Dah habis tahlil pun.

Ya Tuhan. Sedihnya. Dia tak dapat tatap wajah akhir mak sendiri. Banyak kali kawan saya ulang, “padahal dia dekat sangat. Famili dari jauh sana pun sempat sampai pagi tu.”

Kawan saya kata, pada dia itu didikan Tuhan. Kalau kita tak nak sangat jumpa dan ziarah mak kita, nanti Tuhan pisahkan betul-betul. Sampai tak sempat nak tengok langsung. Allahu.

Saya yang mendengar pun sedih. Terus terbayang muka Ummi. Nak menangis pun ada.

Kawan-kawan, selagi orang tua kita ada, ziarahlah selalu. Andai jauh dan kalian tinggal berjarak, hubungilah selalu. Kita tak tahu sampai bila Tuhan bagi peluang untuk kita khidmat ke ibu bapa kita.

Ini mungkin sebahagian daripada realiti hidup zaman sekarang, anak-anak terlalu sibuk menguruskan kerja rumah sehinggakan mengabaikan tanggungjawab kepada ibu dan bapa. Semoga kisah ini memberikan pengajaran kepada kita semua. Hargailah kedua-dua orang tua kita selagi mereka masih bernyawa di muka bumi ini.

Sumber: Firdaus Mokhtar

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)